BTS Media

Diserang buaya ketika mengambil wuduk

Oleh Zainal AS Rashid

SEORANG lelaki berdepan detik ngeri apabila seekor buaya tiba-tiba muncul lalu menggigit tangan kanannya ketika dia mengambil wuduk di sebuah kawasan berpaya berhampiran Padang Papan, Manir, Terengganu pada petang Jumaat.

Nelayan darat Che Man Zakaria, 61, dari Kampung Kebor Besar berkata dalam kejadian pada pukul 7.25 malam itu, dia sedang mengambil wuduk untuk solat Maghrib.

Dia berkata, ketika itu seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter tiba-tiba muncul dan menggigit tangan kanannya hingga dia lalu terjatuh ke dalam paya, lapor Bernama.

Buaya tersebut kemudian menghilang diri ke dalam paya.

Che Man yang cedera di bahagian tangan kemudian menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya, yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian bagi mendapatkan bantuan.

Setelah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, dia menerima rawatan, termasuk 12 jahitan untuk luka.

Che Man yang mempunyai 10 anak itu berkata, dia pernah terserempak dengan seekor buaya di lokasi kejadian, namun kejadian petang Jumaat itu merupakan kali pertama dia diserang.

Dia berkata terdapat dua atau tiga lagi buaya di kawasan tersebut yang mungkin berasal dari Sungai Nerus.

-BTS Media

Leave a Comment