BTS Media

Tiga cedera dalam letupan ketika pemusnahan bunga api rampasan

https://youtu.be/v2-eqDlV1Pg

VIDEO ATAS: Media Sosial.

 

Oleh Fetty Rara

Tiga pekerja mengalami kecederaan ringan ketika melakukan kerja pembersihan timbunan bunga api yang telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa.

Bunga api yang bernilai sekurang-kurangnya RM4.17 juta itu telah dimusnahkan di stor penyimpanan bukti polis di Kuala Lumpur semalam (26 April).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata bunga api tersebut dimusnahkan mengikut perintah mahkamah.

Beliau memberitahu media di tempat kejadian bahawa pemusnahan bunga api itu bermula sekitar pukul 3 petang dengan disaksikan oleh majistret dan pemberita, sementara pengawasan dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi melembapkan timbunan bunga api sebelum jentolak digunakan untuk tugas selanjutnya.

Beh berkata pekerja mula membersihkan kawasan dan meletakkan sisa bunga api yang telah dimusnahkan ke dalam tong besi roll-on roll-off  pada kira-kira 4.30 petang.

Siasatan oleh polis mendapati kebakaran bermula kira-kira pukul 6.15 petang ketika ketiga-tiga pekerja yang berusia antara 25 dan 30 itu sedang membersihkan kawasan berkenaan.

Mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata jentera dan anggota bomba dari stesen Hang Tuah, Titiwangsa, Tun Razak dan Balai bomba Wangsa Maju dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 6.22 petang.

Menurut beliau setelah tiba di lokasi mereka mendapati sekitar 450 meter persegi kawasan terbakar, dan kira-kira 30 peratus daripada sebuah bangunan dan beberapa kenderaan musnah.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.40 malam.

-BTS Media

Leave a Comment