KOTA BHARU: Hampir 400 bakal jemaah kecewa selepas sebuah agensi pelancongan memaklumkan penangguhan penerbangan ke Tanah Suci bagi menjalani ibadah umrah, pada saat akhir.
Lebih mendukacitakan, apabila kumpulan pertama yang sepatutnya berlepas pada 25 Februari lalu, menerima mesej dua hari sebelum penerbangan dengan alasan tiada kekosongan hotel di Makkah.
Bagaimanapun, agensi berkenaan sudah mengadakan perjumpaan dengan jemaah terbabit pada Sabtu lalu, tetapi agensi terbabit belum memberikan surat pengesahan sebagai bukti pembayaran balik.
Mangsa, Mohd Nasir Saat, 65, berkata majoriti jemaah tidak mahu meneruskan pakej umrah dengan agensi berkenaan walaupun mereka memaklumkan akan membawa jemaah selepas Aidilfitri nanti.
“Saya sendiri membayar sebanyak RM54,000 bagi mengerjakan umrah bersama isteri, Ruslah Mat Yaman, 62, serta anak dan menantu. Apakan daya, keterujaan kami untuk menjadi tetamu Allah akhirnya bertukar dengan berita yang mengecewakan.
“Demi meneruskan niat menjalani ibadah umrah, saya terpaksa mengeluarkan sejumlah wang lagi untuk ke sana melalui khidmat agensi lain dan Alhamdulillah, kami akan bertolak ke sana pada 9 Mac nanti.
“Besar harapan saya dan bakal jemaah lain yang turut menjadi mangsa agar pihak agensi ini segera mengembalikan wang kami,” katanya yang ditemui ketika perhimpunan bersama mangsa lain di pekarangan pejabat agensi terbabit, di sini, hari ini.
Beberapa mangsa yang hadir mendakwa, pihak agensi berkenaan berjanji untuk memberi surat pengesahan sebagai bukti perjanjian bayaran balik dalam tempoh seminggu, namun ia belum diterima sehingga hari ini.
Bagi Nik Dah Yusoff, 75, apa yang berlaku membuat dirinya sedih kerana itu adalah perancangan umrah pertama hasil simpanan wang sejak bertahun-tahun lamanya.
“Sepatutnya, saya bertolak pada 6 Mac ini, tetapi harapan saya lebur begitu sahaja apabila anak memaklumkan ia terpaksa ditangguhkan atau mungkin dibatalkan.
“Saya bukanlah orang senang yang boleh ke Tanah Suci pada setiap tahun. Oleh itu, apa yang terjadi kali ini sangat memberi kesan buat saya yang teringin untuk sampai ke sana,” katanya.
Sementara itu, wakil agensi pelancongan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada jemaah yang terbabit mengenai keadaan sebenar yang berlaku.
Katanya, pihaknya memerlukan masa untuk memulangkan semula wang berikutan pembelian tiket penerbangan sudah dibuat dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menerima bayaran balik.
Wakil agensi itu berkata, deposit hotel juga sudah dibuat, justeru pihaknya meminta jemaah bersabar selain memberi jaminan pemulangan wang dan mengakui ada memaklumkan penangguhan sehingga Aidilfitri nanti.