BTS Media

Saifuddin keterlaluan gelar pengundi PN ‘kurang pendidikan’ – Jasri

KETUA Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail keterlaluan apabila mendakwa pengundi muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu sebagai golongan ‘kurang berpendidikan’ dan berpendapatan rendah.

Ketua Bahagian BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, Saifuddin seolah-olah menghina mereka kerana tidak menyokong PH yang kononnya parti orang bandar dan tauke-tauke.

“Padahal pengundi PH adalah majoritinya bukan Melayu, terutama pengundi DAP. Berdasarkan keputusan PRU15 lalu, hanya 11 peratus sahaja pengundi PH dari kalangan orang Melayu yang mungkin pada tanggapan beliau cerdik dan bergaji tinggi.

“Apabila sudah menjadi kerajaan seolah-olah PH menjadi parti kelas atasan yang memandang rendah kepada orang Melayu.

“Keputusan PRU15 lalu, 89 peratus pengundi yang tidak mengundi PH merupakan orang Melayu. Ini secara tidak langsung menganggap keseluruhan orang Melayu tidak pandai dan rata-rata kelas bawahan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

“Padahal Saifuddin sendiri pun Melayu. Mungkin beliau sudah lupa diri. Kita boleh lihat bagaimana penghinaan taraf pendidikan dan pendapatan ini dilakukan oleh kaum sendiri untuk menutup ‘dosa besar’ perkahwinan luar tabie antara PH dan UMNO. Penghinaan ini perlu diberikan pengajaran secukupnya dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Saifuddin ketika berucap pada Konvensyen PH Kedah 2023 di Sungai Petani, Kedah minggu lalu dilaporkan sebagai berkata, pengundi muda pakatan itu terdiri daripada kalangan berpelajaran tinggi dan berpendapatan stabil.

Kata Saifuddin, pengundi muda PN terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan ‘kurang pendidikan’ berdasarkan data kajian dilakukan pakatan tersebut.

Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, kini rakyat mula sedar dan melihat bagaimana dengan kuasa yang kerajaan PH ada menjadikan mereka sombong dan bongkak.

“Mungkin kerana mereka tahu penyokong dan pengundi mereka rata-rata menguasai ekonomi dan golongan peniaga. Tidak hairanlah mereka sekarang menganggap kaum Melayu yang tidak menyokong PH sebagai rakyat kelas bawahan.

“Saya percaya dengan sikap PH yang begini akan membuat rakyat mula nampak warna sebenar (‘the true colour’) mereka. Insya-Allah apabila tiba PRN di enam negeri akan datang, mereka semestinya akan ditolak oleh rakyat, terutama dalam kalangan anak muda yang mempunyai jati diri intelek tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Saifuddin mungkin lupa bahawa rata-rata profesional Melayu, terutama anak muda lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) kini berada dalam Pas dan Bersatu.

“Mereka bukan sahaja mempunyai jati diri dan keperibadian mulia tetapi juga mempunyai keupayaan minda  kuat untuk melihat dan menafsir perkara-perkara yang dilakukan PH. Begitu juga pengundi-pengundi muda yang kini lebih mudah mendapat maklumat daripada pelbagai media sosial untuk membuat pilihan terbaik bagi mereka,” katanya

-BTS Media

*KENYATAAN di atas adalah pandangan dan pendapat penulis kenyataan, dan tidak semestinya mencerminkan dasar atau pendirian editorial BTS Media.my

Leave a Comment