GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.
SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menggantung sementara perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Pengarah Urusannya, Iskandar Mizal Mahmood, berkata penggantungan operasi kedua-dua Aerotrain disebabkan kekerapan berlakunya kerosakan termasuk insiden terbaharu pukul 3.00 petang semalam.
“Kami dengan penuh kekesalan mengumumkan penggantungan operasi Aerotrain antara bangunan utama ke satelit berkuat kuasa hari ini atas sebab keselamatan.
“Selepas banyak kali berlaku kerosakan dengan terkini semalam menyebabkan 114 penumpang terkandas di dalam Aerotrain di tengah-tengah landasan, manakala tren kedua yang digerakkan untuk mengangkut penumpang terbabit juga mengalami kerosakan.
“Kami akan memaklumkan mengenai pengoperasian semula sebelum penggantian Aerotrain baharu dapat beroperasi menjelang 2025,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Iskandar Mizal berkata, MAHB akan mengambil kira semua kemungkinan termasuk memperbaiki Aerotrain terbabit, selain operasi 18 bas pengantara terus beroperasi seperti biasa untuk memudahkan urusan pergerakan penumpang KLIA Terminal 1.
“Kami akan terus meratifikasi sebarang kemungkinan termasuk membaiki Aerotrain terbabit sehingga tren baharu sepenuhnya beroperasi pada 2025.
“Buat masa ini, projek penggantian Aerotrain berada dalam Fasa 1 iaitu reka bentuk yang memerlukan penukaran keseluruhan gerabak, landasan dan infrastruktur yang sesuai yang akan selesai akhir suku kedua tahun ini.
“Selepas itu, pembangunan akan bermula sebelum operasi Aerotrain baharu beroperasi mulai 2025,” katanya.
Mengulas mengenai nasib 114 penumpang yang terkandas semalam, beliau menjelaskan, semua penumpang telah diberi bantuan segera dan 10 daripadanya terlepas penerbangan ke destinasi masing-masing.
“10 penumpang yang terlepas penerbangan telah dibantu dengan diberi penginapan serta tiket penerbangan semula ke destinasi masing-masing telah diuruskan semula dan ditanggung oleh MAHB.
“Kami kesali insiden yang telah berlaku. Lebih buruk lagi, tren ‘penyelamat’ yang sepatutnya mengambil penumpang terkandas juga rosak menyebabkan penumpang terpaksa berjalan ke bangunan satelit dalam keadaan cuaca hujan renyai-renyai.
“Selepas kejadian di mana kedua-dua Aerotrain rosak petang semalam dan mengambil kira kekerapan kerosakan berlaku, hari ini pihak pengurusan memutuskan menggantung terus sementara operasi secara rasminya,” katanya.
Aerotrain KLIA Terminal 1 telah beroperasi sejak 25 tahun lalu dengan jarak perjalanan keseluruhan sekitar 2.8 juta kilometer dan mengendalikan kira-kira 300 juta penumpang.