BTS Media

PEJUANG mohon sertai Perikatan Nasional – Mukhriz

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) memohon untuk menyertai parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya sudah mengutus surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya partinya diterima sebagai anggota komponen.

Katanya, surat yang sama turut diserahkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau.

“Keputusan untuk membuat permohonan ini sudah mendapat kesepakatan dalam Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG dua hari lalu, selepas penelitian dan penilaian dibuat ke atas semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.

“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami peroleh daripada Perhimpunan Agung PEJUANG kali-2 yang diadakan.

“Adalah diharapkan kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan PEJUANG dan memberi respons yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata, pertimbangan dibuat selepas pihaknya mendapati tidak memadai kerjasama pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi terutamanya ketika perlu menggunakan lambang berasingan oleh kedua-dua pihak.

“Lebih menguntungkan semua pihak jika PEJUANG menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang perikatan berkenaan.

“Kesepakatan PEJUANG bersama PN adalah untuk jangka masa panjang dan tidak terhad hanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun 2023 ini sahaja,” katanya.

Mukhriz berkata, penyertaan PEJUANG sebagai anggota komponen parti itu juga bagi memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Leave a Comment