TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini sekali lagi menafikan dakwaan bahawa anak dan menantunya memperoleh kontrak dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu bangun mencelah selepas kekecohan berlaku sebaik Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membuat dakwaan itu pada awal perbahasan Belanjawan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat.
“Saya agak duduk bersabar mendengar tuduhan yang telah dibuat oleh Kota Melaka.”
“Saya sudah jelaskan, Yang Dipertua pada hari saya berucap yang lepas. YB (Yang Berhormat) Jelutong (ketika itu) bangkit dan beberapa lagi YB Ipoh Timur tak silap saya bangkit soal itu.
“…yang mengatakan tentang menantu (Datuk) Muhamad Adlan (Berhan) telah pun mendapat kontrak NIIse iaitu sistem Imigresen yang disatukan diwaktu mana Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) adalah menteri dalam negeri.
“Saya sudah sebut hari itu, ia adalah pembohongan, fitnah, tidak betul dan pertuduhan yang berat nak menjatuhkan maruah saya dan juga maruah keluarga saya. Ini perkara yang berat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau juga menyifatkan laporan media mengenai isu itu sebagai berita palsu.
“Tetapi kalau nak tanya saya, saya nak beritahu di sini dengan jelas bahawa (dakwaan) itu tidak benar, bahawa keputusan yang telah dibuat oleh pihak jawatankausa pemilihan untuk memilih penender sebagai tender terbuka bukan syarikat milik anak menantu saya iaitu syarikat daripada Iris Corporation Berhad.
“Saya nak jelaskan di sini sebab ini peluang saya nak nyatakan dengan jelas….kalau YB di sini membangkitkan itu (tuduhan) itu di luar, saya akan ambil tindakan undang-undang.
“Kalau berani sebut di luar (Dewan Rakyat),” katanya merujuk kepada Poay Tiong.
Jun lalu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu dilaporkan berkata, pelaksanaan NIISe dengan kos RM1 bilion diyakini mampu mempertingkatkan sistem imigresen negara ke tahap yang lebih baik.
Beliau berkata, kontrak NIISe di antara kerajaan dengan IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd dimuktamadkan pada Mei 2022, membabitkan lebih 12 kontraktor.
Mengikut tempoh kontrak, NIISe akan beroperasi sepenuhnya pada 2024. Sistem itu dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1070296/tuduhan-itu-bohong-dan-fitnah