BTS Media

PETRONAS: Tuntutan kumpulan Sulu terhadap Luxcos tak berasas

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) hari ini menegaskan bahawa tuntutan oleh kumpulan Sulu terhadap dua anak syarikatnya di Luxembourg (Luxcos), sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukannya di sisi undang-undang.

“Kesemua usaha kini menumpukan kepada prosiding pengesahan yang mana mahkamah akan menentukan merit tuntutan dan Luxcos mempunyai hak untuk pembelaan,” kata syarikat minyak dan gas negara itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk laporan media mengenai tindakan Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu ke atas dua anak syarikat Petronas itu pada minggu ini.

Ia susulan tuntutan mereka untuk menguatkuasakan anugerah hampir AS$15 bilion, yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia.

Dalam dokumen mahkamah yang dilihat Reuters daripada peguam kumpulan Sulu, mereka memohon untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.

Timbang tara berkenaan adalah berhubung tuntutan waris kumpulan itu terhadap Malaysia mengenai hak penguasaan kawasan yang dikatakan dimeterai pada zaman kolonial.

Malaysia tidak pernah mengambil bahagian dalam timbang tara itu kerana kekal dengan pendirian bahawa proses itu adalah tidak sah.

Negara sudah mendapat penangguhan bagi tuntutan itu di Perancis, tetapi keputusan tetap boleh dikuatkuasakan di 165 negara di bawah Konvensyen Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara (Konvensyen New York), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Semalam, BH Online melaporkan, kumpulan Sulu dijangka terus membuat tuntutan ke atas aset Malaysia sehingga mereka berjaya mendapat hak penguasaan kawasan yang dituntut dalam beberapa mahkamah di Eropah.

Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata kumpulan itu tidak akan berhenti dan akan menggunakan pelbagai taktikal serta helah bagi memastikan tuntutan mereka ke atas Malaysia dipenuhi.

Justeru, katanya, pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan undang-undang bagi menangani tuntutan itu perlu bijak membaca taktikal kumpulan berkenaan.

PETRONAS sebelum ini menegaskan ia akan menentang sebarang tuntutan yang dibuat ke atas asetnya dan Malaysia berikrar untuk menggunakan semua langkah undang-undang untuk menghalang rampasan ke atas asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, daripada dirampas di luar negara.

Dua aset PETRONAS, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan PETRONAS South Caucasus kali pertama disekat pada Julai 2022.

Julai tahun lalu, Kabinet menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan undang-undang bagi menangani tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan.

Pasukan khas itu diketuai Menteri Luar ketika itu, Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Idrus Harun dan pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

Salawati, yang arif dalam undang-undang antarabangsa menjelaskan, kumpulan Sulu itu juga dijangka menggunakan kemudahan mahkamah Eropah bukan Komanwel dalam tuntutan mereka.

Katanya, kumpulan itu akan beralih ke mahkamah lain seperti Perancis, Itali dan terbaharu di Luxembourg, jika gagal dalam tuntutan di sesebuah mahkamah.

Beliau berkata, pasukan petugas khas perlu cepat bertindak dengan membaca tindakan perundangan yang sudah diambil kumpulan Sulu sebelum ini, tidak lagi boleh bersikap tunggu dan lihat atau mempertahankan hak, sebaliknya perlu mencegah tuntutan itu daripada terus berlarutan tanpa kesudahan.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1065542/tuntutan-kumpulan-sulu-terhadap-luxcos-tak-berasas-petronas

 

Leave a Comment