BTS Media

Pelakon Bruce Willis sah menghidap demensia, kata keluarga

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Fetty Rara

PELAKON Hollywood Bruce Willis disahkan menghidap demensia yang tidak boleh dirawat, kata keluarganya pada Khamis.

Berita itu muncul kurang setahun selepas beliau bersara daripada bidang lakonan kerana masalah kognitif yang semakin serius.

Pelakon filem ‘Die Hard’ yang berusia 67 tahun itu meninggalkan Hollywood pada bulan Mac dan dilaporkan tidak lagi kelihatan dalam khalayak ramai.

“Sejak mengumumkan diagnosis Bruce didapati mengalami keadaan ‘aphasia’ pada musim bunga 2022, keadaan beliau semakin merosot, dan kini disahkan menghidap keadaan lebih spesifik, iaitu, demensia frontotemporal,” kata satu kenyataan.

Demensia frontotemporal (FTD) adalah istilah umum untuk gangguan yang mempengaruhi kawasan otak berkaitan personaliti, tingkah laku dan pertuturan.

“Malangnya, cabaran keupayaan komunikasi hanyalah antara gejala yang dihadapi Bruce,” kata kenyataan keluarganya itu.

“Walaupun berita ini amat menyedihkan, sekurang-kuranya ia menunjukkan kepastian setelah lama dinantikan.

“Buat masa sekarang masih belum ada rawatan untuk penyakit itu, namun kami berharap keadaan akan berubah pada tahun-tahun akan datang.

Menurut doktor, bahagian depan dan temporal otak mengecut pada pesakit yang menghidap penyakit FTD.

Apa yang menyebabkan ini berlaku tidak diketahui, tetapi ia boleh mengakibatkan perubahan personaliti, dan juga tingkah laku yang mungkin menjadikan seseorang payah bersosial, tidak dapat mengawal diri dan tidak lagi mengenali orang di sekelilingnya.

Terdapat juga pesakit lain kehilangan keupayaan bertutur.

Menurut Klinik Mayo, di AS,  FTD boleh berlaku pada individu antara umur 40 dan 65 tahun, dan merupakan satu perlima daripada semua kes demensia.

Kenyataan keluarga yang ditandatangani isteri Willis sekarang, Emma Heming Willis, serta bekas isteri, pelakon Demi Moore, dan anak-anaknya Rumer, Scout, Tallulah, Mabel dan Evelyn, berkata Bruce sepanjang kariernya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu penting.

-BTS Media

Leave a Comment