GAMBAR: Twitter @yongsyefura
Oleh Zainal AS Rashid
HUJAN lebat berterusan mengakibatkan tanah runtuh di beberapa lokasi sepanjang jalan lama Kuala Lumpur – Bentong hingga menyebabkan laluan itu ditutup sementara.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, setakat ini sekurang-kurangnya dua kejadian dikenal pasti di sepanjang jalan berkenaan, kedua-duanya berukuran kira-kira 50 meter panjang.
Beliau berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira 100 meter dari selekoh Janda Baik dan yang kedua kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi itu, lapor NST.
Zaiham berkata jalan itu ditutup buat sementara waktu kepada semua kenderaan yang menuju dari Genting Sempah ke Janda Baik, tetapi sebagai alternatif pemandu boleh menggunakan persimpangan E8 KL-Karak – Bukit Tinggi.
“Terdapat juga batu dan tanah yang jatuh ke atas jalan. Tetapi, disebabkan air yang berterusan mengalir, kerja-kerja penilaian belum dapat dijalankan,” kata Zaiham.
Sementara itu, beberapa kampung di kawasan tanah tinggi turut terjejas akibat banjir lumpur dan lonjakan air.
Setakat ini keadaan terkawal dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan.
Pihak berkuasa, termasuk jabatan bomba dan penyelamat serta jabatan pertahanan awam sedang memantau keadaan.
-BTS Media