BTS Media

Mereka dendam jika Muhyiddin dilantik PM dengan sokongan 10 MP BN, DAP tak berpeluang jadi kerajaan – Marzuki

AHLI Parlimen Kampar dari parti DAP menggesa supaya BN mengambil tindakan disiplin terhadap semua 10 Ahli Dewan Rakyat BN yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Saya tidak pasti sama ada Perlembagaan BN membenarkan tindakan disiplin diambil ke atas ahli-ahli parti komponen kerana setiap parti komponen mempunyai tatacara disiplin masing-masing. Sesiapa yang arif tentang Perlembagaan BN bolehlah beri komen.

Apa pun gesaan Ahli Parlimen Kampar ini mencerminkan sikap parti DAP. Mereka nampaknya marah sungguh kepada Tan Sri Muhyiddin sehinggakan sesiapa sahaja yang menyokong Tan Sri Muhyiddin mesti dihukum walaupun itu adalah hak mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak menarik balik hak Ahli Dewan Rakyat untuk menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri walaupun berlainan parti.

Gesaan ini juga membuktikan benarlah bahawa Tan Sri Muhyiddin pada 21 November 2022 telah mendapat kepercayaan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kerana terdapat tekanan politik, 10 Ahli Dewan Rakyat BN (6 UMNO, 2 MCA, 1 MIC, 1 PBRS) terpaksa menarik balik sokongan mereka.

Persoalannya, adakah penarikan balik sokongan mereka itu secara suci hati atau under duress? Sekiranya under duress, apakah kesannya di sisi undang-undang dan Perlembagaan? Saya tak nak bawa ke situ kerana pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mengapa DAP marah sangat sedangkan itu adalah urusan BN?

Mereka berdendam kerana jika Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan 10 Ahli Dewan Rakyat BN ini, DAP tidak akan berpeluang berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

Dengan tidak terlantiknya Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, maka kembalilah DAP menguasai kerajaan. Inilah masanya DAP menyerlahkan “politics of vengeance” mereka sepertimana gesaan Ahli Parlimen Kampar ini.

Tindakan Ahli-Ahli Parlimen BN yang mempertahankan dasar “NO DAP” sepertimana yang disuarakan oleh akar umbi parti mereka sendiri tiba-tiba menjadi satu kesalahan besar. DAP tidak peduli.

Dendam mereka lebih besar daripada suara akar umbi parti orang lain.

Nampaknya dunia politik sudah terbalik. Ahli-ahli Parlimen BN berdepan dengan tindakan disiplin semata-mata kerana mempertahankan suara akar umbi parti mereka.

Saya tidak hairan dengan gesaan Ahli Parlimen Kampar ini kerana saya pernah bersama dengan mereka dahulu. Saya tahulah serba sedikit hati budi mereka.

Penulis Datuk Dr Marzuki Mohamad merupakan mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Berita BERSATU.

Leave a Comment