BTS Media

Jokowi beri amaran akan pecat  polis jika jerebu melanda Indonesia lagi

Oleh Zainal AS Rashid

PRESIDEN Joko Widodo (Jokowi) memberi amaran kepada polis supaya bertindak dalam usaha untuk menghentikan kebakaran besar daripada melanda negara itu ketika seluruh Indonesia kini diancam cuaca kering akibat El Nino.

Dalam satu mesyuarat pegawai penguat kuasa pada hari Rabu beliau berkata, sekiranya kebakaran besar berlaku di mana-mana wilayah, ketua polis tempatan akan dipertanggungjawabkan dan dipecat, lapor Bloomberg.

Sepanjang tiga tahun lepas, Asia Tenggara telah terhindar daripada jerebu kerana musim kemarau yang lebih lembap daripada biasa mengekang kebakaran.

Pada 2019, asap dan jerebu menyelubungi bahagian Singapura, Malaysia dan Indonesia selama berbulan-bulan apabila lebih 1.6 juta hektar kawasan terbakar di seluruh Indonesia.

Agensi cuaca negara itu menjangkakan musim kemarau pada 2023 akan lebih teruk berbanding tiga tahun sebelumnya, tetapi masih terdapat 50 peratus peluang bahawa cuaca El Nino kali ini akan lebih lemah.

Jokowi juga memberi amaran kepada pihak polis supaya tegas dalam usaha membanteras perlombongan haram bagi memastikan ia tidak mengganggu usaha untuk menghilirkan eksport komoditi negara.

-BTS Media

Leave a Comment