Oleh Zainal AS Rashid
GEMPA bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda Turki dan Syria pada Isnin, mengorbankan lebih 100 orang yang kebanyakannya masih tidur.
Gegaran yang juga dirasai di pulau Cyprus, Israel dan Mesir itu turut menyebabkan banyak bangunan runtuh.
Menurut pihak berkuasa Turki, setakat ini sekurang-kurangnya 76 kematian dilaporkan dan bilangannya akan meningkat memandangkan berpuluh-puluh blok pangsapuri runtuh di bandar-bandar utama.
Media rasmi melaporkan, sekurang-kurangnya 50 orang maut di wilayah Syria yang dikawal kerajaan, serta kawasan utara yang dikuasai puak pro-Turki.
Televisyen menyiarkan keadaan yang menunjukkan orang ramai melarikan diri ke kawasan lapang bersalji dalam keadaan terkejut dan cemas dengan hanya memakai pakaian tidur, sementara pasukan penyelamat bergegas menggali runtuhan kediaman.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berlaku pada pukul 4:17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) pada kedalaman kira-kira 17.9 kilometer, dengan gegaran susulan 6.7 magnitud berlaku 15 minit kemudian.
Pihak khidmat kecemasan Turki, AFAD menganggarkan gempa pertama melanda pada  magnitud 7.4, diikuti oleh berpuluh-puluh gegaran susulan.
Gempa bumi paling kuat melanda wilayah itu dalam tempoh sekurang-kurangnya satu abad itu menjejaskan bahagian tenggara Turki yang didiami berjuta-juta pelarian dari Syria dan negara lain.
-BTS Media