BTS Media

Dari RM600 bilion turun jadi RM300 juta? Anwar bohong lagi, kata Wan Saiful

KETUA Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘berbohong’ berhubung kenyataannya tidak campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap BERSATU, sedangkan tuduhan angka semakin berubah-ubah daripada RM600 bilion kepada RM300 juta.

Wan Saiful berkata BERSATU telus apabila mengisytiharkan akaun parti setiap tahun dan telah pun mendedahkan dokumen itu untuk akses umum.

Bagaimanapun, katanya, beliau pelik dakwaan Anwar yang mengatakan BERSATU seleweng RM600 bilion kini berubah menjadi RM300 juta sekali gus membuktikan campur tangan politik berlaku.

“Kita melihat ada campur tangan politik berlaku. Walaupun PM kata tidak ada sebarang campur tangan oleh kerajaan, bagi saya ini satu penipuan yang dilakukan oleh kerajaan penipu ini.

“Pertama, dia tuduh kita mencuri RM600 bilion. Bila tahu angka dia salah, dia turun jadi RM92.5 bilion. Bila dia tahu angka itu pun salah, dia turun konon-konon ada RM4.5 bilion. Bila BERSATU dedahkan akaun parti yang setiap tahun kita isytihar, dapat diketahui setahun lebih kurang RM150 juta yang kita terima. Tiba-tiba ada dakwaan lagi ada RM300 juta kononnya.

“Saya cabar Anwar Ibrahim dedahkan dari mana dia dapat angka ini sebab kalau tidak, ternyata satu penipuan oleh kerajaan penipu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, di Jeti Nelayan Padang Benggali, di sini, pada Sabtu.

Tiga hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak pernah mengarahkan SPRM membekukan akaun BERSATU.

Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pada sidang medianya, Anwar berkata agensi itu bertindak bebas dalam tindakan membekukan akaun Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menegaskan kerajaan yang dipimpin Anwar tidak sepatutnya mempengaruhi SPRM.

Ini kerana, katanya, SPRM adalah sebuah badan bebas yang dihormati rakyat.

Membuktikan campur tangan politik berlaku, Wan Saiful berkata ketika ini yang disiasat hanyalah BERSATU.

“Jadi ini campur tangan politik yang tidak sepatutnya berlaku ke atas sebuah badan bebas yang dihormati oleh rakyat seperti SPRM.

“Sekiranya tiada campur tangan politik, sudah pasti semua parti yang menyertai PRU15 akan disemak oleh pihak berkuasa. Tapi apabila hanya BERSATU sahaja menjadi sasaran, sudah pasti timbul persoalan kenapa siasatan begitu spesifik terhadap satu parti sahaja dan bukan semua?” soalnya.

shorturl.at/clN35

Leave a Comment