BTS Media

Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) sokong wujud kawasan warisan “Dunia Melayu” di Kuala Lumpur

Oleh Yusoff A. Shariff

LEMBAGA Peradaban Melayu (ADAB) menyambut baik seruan Yang diPertua Dewan Negara, Tan Sri Utama Dr. Rais Yatim pada 3 Januari 2023 supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan sebuah kawasan “Dunia Melayu” di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, kawasan akan “mengandungi semua elemen menonjolkan kekayaan budaya dan warisan Melayu”, amat perlu memandangkan tiadanya wujud sebarang identiti padu masyarakat Melayu di ibu kota.

Maka itu, ADAB sebagai sebuah badan bukan kerajaan berkaitan peradaban Rumpun Melayu menyokong kuat saranan beliau.

Menurut Pengerusi ADAB, Datuk Dr. Ghazali Mohd Yusof dalam satu kenyataan hari ini, kawasan tersebut merupakan sebuah permukiman pentas seni budaya, muzik, perhasilan pertukangan, kuisin, serta kehidupan bernilai budaya tinggi.

Datuk Dr. Ghazali Mohd Yusof

Beliau berkata inisiatif itu amat tepat sekali dengan peradaban mulia dan tinggi masyarakat Melayu, yang sering tidak dikenali, malah oleh sebahagian daripada orang Melayu sendiri.

Beliau berkata, apatah lagi dengan kewujudan permukiman budaya Melayu di ibu kota, iaitu pusat negara, ia akan memastikan Kuala Lumpur tidaklah satu bandaraya yang terasing dan ganjil sifatnya daripada wilayah besar negara, amnya.

Dr Ghazali menambah, kewujudan permukiman budaya Melayu di ibu kota juga akan membawa orang asing sama ada sebagai pelawat, hadirin urusan perniagaan, rasmi kerajaan, atau pelancong, umumnya mengenali inti asli negara Malaysia dengan mudah, lebih rapat, dan lebih bermakna.

ADAB berharap presint “Dunia Melayu” ini akan muncul bukan hanya sebagai balai untuk memaparkan budaya pusaka bangsa Melayu dan “Dunia Melayu”.

Ia dimanifestasikan sebagai sebuah mukim yang hidup segar, bermaya dengan semangat Peradaban Bangsa Rumpun Melayu, dan seterusnya merangsang pemerkayaan pengetahuan dan kesedaran budaya Rumpun Melayu di Malaysia.

Beliau berkata, dalam mendukung sasaran pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pembangunan Kuala Lumpur perlu menyasarkan bukan sahaja pembangunan manusia daripada segi kebendaan, kesentosaan dan meninggalkan kemiskinan, serta kesaksamaan jantina, tetapi juga pemeliharaan dan kelestarian budaya asli sebagai satu kekayaan kemanusiaan.

Beliau berkata, ADAB berharap agar idea mulia itu tidak dilengahkan pewujudan fizikalnya.

-BTS Media

Leave a Comment