BTS Media

Arahkan Zahid ambil cuti hingga kes mahkamah selesai, calar imej negara jika bertemu pemimpin dunia

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mengambil tindakan mengarahkan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil cuti rehat sehingga kes perbicaraan di mahkamah selesai.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kedudukan itu akan mencalarkan imej negara apabila seorang Timbalan Perdana Menteri sedang berhadapan kes mahkamah sewaktu membuat lawatan kerja rasmi di negara luar.

“Arahkan Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kesnya selesai.

“Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan sepanjang minggu ini bagi Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Minggu lalu, Ahmad Zahid juga memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata kerajaan PH-BN pimpinan Anwar tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi.

Kata Muhyiddin, janji tata kelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Ahmad Zahid yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini dilakukan semata-mata kerana membalas ‘budi’ Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi.

“Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan ‘you scratch my back, I scratch your back’,” katanya.

Tambah Muhyiddin, tindakan itu juga jelas menunjukkan Ahli Parlimen Tambun itu mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didukung penyokongnya sendiri meskipun belum mencecah tempoh 100 hari pemerintahan.

Leave a Comment