BTS Media

Pendakwa kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

BEKAS hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, 79, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan, mendiang yang juga Timbalan Pendakwa Raya Kanan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib Razak, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan minggu lalu bagi menerima rawatan, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada 23 November tahun lalu, ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pemeriksaan utama membabitkan saksi utama kes akan dikendalikan oleh Sri Ram.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, berita kematian Sri Ram disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

“Ya, benar. Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di sini,” katanya ketika dihubungi.

Mendiang juga adalah pendakwa raya utama bagi perbicaraan rasuah isteri Najib, Rosmah Mansor, membabitkan projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1057377/pendakwa-kes-1mdb-gopal-sri-ram-meninggal-dunia

 

Leave a Comment