BTS Media

Bubarkan sahaja UMNO jika terus ditolak rakyat – Ku Li

Oleh Yusoff A. Shariff

UMNO perlu berubah untuk terus relevan, jika tidak parti itu akan berdepan risiko ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata adalah lebih UMNO dibubarkan sahaja sekiranya terus ditolak rakyat.

“UMNO mesti ada perubahan. Kalau tidak UMNO tidak boleh hadapi pilihan raya negeri dan akan kalah teruk. Kalau ditolak terus oleh rakyat, lebih baik tutup sahaja parti,” lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, terpulang kepada barisan kepimpinan UMNO untuk berusaha menarik semula sokongan rakyat.

UMNO mencatatkan prestasi paling buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15, apabila hanya menang 26 kerusi Parlimen berbanding 54 Parlimen pada PRU14.

Dalam pada itu, parti-parti sekutunya pula memperoleh empat kerusi, justeru menjadikan jumlah kerusi keseluruhan yang dimenangi oleh Barisan Nasional hanya 30.

Oleh yang demikian, Tengku Razaleigh yang juga bekas ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal berkata kerajaan sekarang belum cukup kukuh.

Beliau berkata, ini kerana kes mahkamah yang dihadapi presidennya Ahmad Zahid Hamidi akan mempengaruhi barisan kepimpinan parti itu nanti.

“Keadaan sekarang masih tidak menentu. Sekarang ini walau Anwar (Ibrahim) mendapat sokongan dalam Parlimen, beliau tetap bergantung kepada 30 ahli Parlimen BN,” katanya lagi.

-BTS Media

Leave a Comment