Oleh Zainal AS Rashid
PENULIS blog dan aktivis politik Zaharin Mohd Yasin hari ini mengucapkan terima kasih kepada UMNO kerana memecatnya dan berkata dia kini bebas untuk menonjolkan dakwaan salah laku parti itu dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam catatan Facebook terbaharunya, Zaharin mendakwa Ahmad Zahid memutuskan untuk memecatnya sebagai langkah peribadi untuk menutup kritikan dalaman mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa dan “kesalahan” kewangannya.
Zaharin berkata, mulut, tangannya tidak akan berhenti, dan pemecatan itu merupakan dorongan untuk dia terus menyeru rakyat Malaysia yang berbilang kaum supaya menolak Barisan Nasional dan UMNO,” katanya melalui Facebook.
UMNO mengumumkan pemecatan Zaharin sebagai ahli parti malam tadi.
Dalam catatan Facebook, dia menyatakan bahawa dia memberi sokongan kepada UMNO sejak 52 tahun lalu, dan mendakwa penyingkirannya tidak mengikut perlembagaan kerana dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan dirinya atau diminta untuk menunjukkan sebab oleh lembaga disiplin parti.
Zaharin, (ZMY / Sang Kelembai) terkenal dengan pandangan politiknya terhadap UMNO.
Bekas setiausaha UMNO Bandar Tun Razak itu juga lantang mengkritik Ahmad Zahid dan pemimpin parti lain di media sosial.
Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan mengumumkan penamatan keahlian parti Zaharin berkuat kuasa serta-merta, sambil menambah bahawa Zaharin telah melanggar kod etika parti.
Ahmad berkata penamatan keahlian itu dibuat mengikut Fasal 10.6 perlembagaan UMNO, bersama Fasal 5.9 kerana melanggar etika keahlian UMNO di bawah Fasal 20.9.
-BTS Media