BTS Media

DBKL mula siasatan rasuah berhubung bayaran oleh penjual limau Mandarin

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan rasuah membabitkan beberapa anggota penguat kuasanya yang didakwa meminta rasuah daripada peniaga yang menjual limau Mandarin di bandar raya ini.

Ini berikutan dakwaan bahawa beberapa pegawai membuli peniaga di Taman Usahawan Kuchai di Kuchai Lama yang melanggar garis panduan pelesenan, lapor The Star.

Seorang pegawai kanan DBKL berkata ketika dihubungi pada Selasa (3 Jan) bahawa perkara itu sedang disiasat dan beberapa pegawai akan disoal siasat, tetapi enggan mengulas lanjut.

Datuk Bandar Datuk Seri Mahadi Che Ngah telah mengarahkan siasatan dalaman mengenai perkara itu dan menghantar pegawai integriti ke tempat kejadian untuk mengumpul bukti dan menemu bual peniaga.

Satu rakaman audio diedarkan dalam talian oleh seorang penduduk Kuala Lumpur bernama Imraz Ikhbal, mendakwa pegawai penguat kuasa DBKL menuntut rasuah daripada peniaga yang melanggar peraturan pelesenan.

Ketika dihubungi, Imraz berkata, baru-baru ini apabila membeli limau Mandarin di tapak itu, dia terkejut melihat harga terlalu tinggi, iaitu RM52 untuk hanya 20 biji limau.

“Apabila saya bertanya mengenai harga, peniaga itu mengaku terpaksa menaikkan harga kerana perlu membayar RM1,000 kepada pegawai DBKL supaya mereka tidak mengganggu perniagaannya.

“Saya marah dan merasakan bahawa saya perlu melakukan sesuatu untuk mendedahkan perkara ini. Saya membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan juga berjumpa Datuk Bandar,” katanya.

The Star telah menemu bual beberapa peniaga di tapak berkenaan, dan diberitahu bahawa pelanggaran syarat pelesenan dan memberi imbuhan adalah “perkara biasa”.

“Ia banyak berlaku kepada mereka yang melanggar undang-undang. Mereka yang sanggup membayar gaji pegawai… ini tidak sepatutnya berlaku,” kata seorang peniaga di situ.

“Budaya ini harus dihentikan sekarang. Pihak yang memberi dan menerima rasuah mesti dihukum,” kata seorang lagi peniaga yang beroperasi di pasar OUG.

-BTS Media

Leave a Comment