BTS Media

Hari anak gajah comel ‘Baby Joe’ bertukar menjadi ganas

Oleh Fetty Rara

GAJAH bernama Baby Kejora@Joe (Baby Joe) pernah menarik perhatian dunia apabila dia merupakan satu-satunya yang masih hidup setelah 14 ekor Gajah Borneo diracun sembilan tahun lalu.

Gambar viral menunjukkan anak kecil itu cuba mengejutkan ibunya yang mati supaya bangun di Hutan Simpanan Gunung Rara kira-kira 140km dari Tawau pada 25 Januari 2013 mencetuskan kesedihan rakyat Malaysia dan dunia, lapor The Star.

Ironinya, Baby Joe sekali lagi menarik perhatian pada Hari Krismas baru-baru ini apabila haiwan itu yang kini sudah dewasa tiba-tiba bertukar menjadi ganas.

Pada kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad itu, Baby Joe tiba-tiba menyerang Joe Fred Lansou, 49 ketika beliau sedang merawat seekor anak gajah lain yang  mengalami kecederaan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dekat Kota Kinabalu.

Lansou, yang ditanduk di bahagian dada dan perutnya maut di tempat kejadian.

Dari satu segi, tindakan Baby Joe pada hari itu memberi tumpuan kepada cabaran dalam usaha pemuliharaan bagi memastikan kemandirian gajah pygmy Borneo, yang kini berjumlah hanya antara 1,500 dan 1,900 di hutan Sabah.

Berikutan kejadian itu, Baby Joe dirantai di kawasan tertutup sementara menantikan nasibnya.

“Kami mengasingkannya untuk mengelakkan kontak dengan kakitangan, tetapi ia sebenarnya tidak baik untuk Baby Joe kerana pergerakannya terhad dalam ruang kecil itu,” kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga dalam satu temu bual.

Beliau berkata keputusan untuk memindahkan Baby Joe ke sama ada Borneo Elephant Sanctuary (BES) di Kinabatangan atau Sepilok di Sandakan tidak sesuai kerana kedua-dua tempat itu sudah penuh.

“Terlalu banyak gajah berada dalam kurungan di Sabah. Penyelesaian yang mungkin adalah menghantar sebahagian daripada haiwan itu ke zoo luar negara jika kerajaan bersetuju,” katanya.

Tuuga berkata terdapat sejumlah 26 ekor gajah dalam kurungan di ketiga-tiga kemudahan tersebut, yang kebanyakannya tidak boleh dilepaskan ke hutan kerana bimbang mereka tidak akan hidup secara liar.

Beberapa zoo di luar negara, kata Tuuga, telah menunjukkan minat untuk mengambil Baby Joe dan seekor lagi gajah betina, Oyoh.

“Kami berdepan cabaran lain seperti menerima anak gajah baharu yang cedera atau terbiar,” katanya sambil menegaskan bahawa mematikan Baby Joe bukanlah satu pilihan dan tidak dipertimbangkan.

Tuuga berkata satu Pelan Pengurusan Gajah Tawanan Sabah telah disiapkan oleh pakar.

“Kami sudah melaksanakan sebahagian daripada pelan ini, termasuk menghantar kakitangan untuk latihan pengendalian gajah.

“Malah, mendiang Lansou baru pulang dari Amerika Syarikat beliau bersama seorang lagi rakan sekerja selepas menjalani latihan di Tennessee Elephant Sanctuary,” katanya sambil menambah bahawa kandang gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi sedang diubahsuai.

Mendiang Lansou yang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak masih bersekolah adalah ketua unit gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

Beliau, yang merupakan seorang renjer berani pernah selama ini terlibat dalam penjagaan gajah selain memainkan peranan penting dalam operasi pemindahan atau menangkap haiwan liar di hutan.

-BTS Media

Leave a Comment