BTS Media

Gajah dipaksa kerja keterlaluan tarik tubuh tuannya hingga putus dua

SEEKOR gajah yang terlalu marah kerana dipaksa bekerja keterlaluan telah membunuh tuannya dengan menarik tubuhnya hingga putus dua.

Pegawai dari balai polis Takua Thung bergegas ke lokasi apabila menerima laporan tentang kejadian itu pada kira-kira pukul 11.30 Rabu lepas di daerah kecil Tha Yu, tidak jauh dari sempadan Malaysia-Thailand.

Apabila tiba di tempat kejadian, mereka dimaklumkan bahawa Pom Pam, gajah berusia 20 tahun di situ telah membunuh tuannya, Supachai Wongfaed, 32.

Pasukan penyelamat bersama orang kampung telah menghampiri lokasi kejadian, dan melihat mayat Wongfaed putus dua di tengah kebun getah, dengan Pom Pam berdiri di sisi.

Pegawai haiwan wilayah Phang Nga kemudian dipanggil untuk menembak Pom Pam menggunakan ubat penenang, supaya pasukan penyelamat dapat mengeluarkan mayat Wongfaed, anak kepada bekas datuk bandar Tha Yu.

Siasatan awal mendapati gajah itu dipaksa mengangkat kayu balak sebelum menyerang tuannya. Pegawai veterinar berpendapat cuaca yang begitu panas mendorong Pom Pam menyerang Wongfaed.

Walaupun amalan menggunakan tenaga gajah untuk mengangkat balak di hutan diharamkan di Thailand sejak 1989, ia masih diteruskan di sesetengah kawasan.

Apa yang berlaku adalah peringatan bahawa gajah Asia akan sentiasa bersifat liar dan boleh menyerang manusia sekiranya tidak tahan didera atau terlalu stres.

Ketua Eksekutif pertubuhan Save the Asian Elephants, Duncan McNair memberitahu majalah Newsweek bahawa gajah-gajah tersebut mengalami tekanan emosi dan fizikal serius apabila dijinakkan oleh manusia dan kemudian dipaksa melakukan kerja teruk tanpa mengira kemampuan.

Menurut McNair, pertubuhan itu menerima sekurang-kurangnya 2,000 laporan kematian manusia disebabkan oleh gajah yang dijinakkan secara paksa untuk tujuan komersial, termasuk pelancongan.

Walaupun Thailand mempunyai hampir 30 undang-undang bagi melindungi gajah, namun haiwan itu masih didera manusia, seperti dicucuk dengan besi tajam bagi mengawal pergerakan.

Pada dasarnya gajah adalah haiwan yang tenang dan baik, tetapi boleh mencederakan manusia sekiranya berasa terancam atau stres.

-BTS Media

Leave a Comment