BTS Media

Piala AFF 2022: RTM siar perlawanan Malaysia-Vietnam malam ini

HAJAT peminat bola sepak untuk menyaksikan skuad kebangsaan beraksi dalam Piala AFF 2022 tercapai apabila RTM setuju menyiarkan perlawanan itu bermula menentang Vietnam malam ini.

Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, RTM akan menyiarkan perlawanan kejohanan yang dianggap ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu sehingga perlawanan akhir pada 16 Januari depan.

“Saya mengambil maklum bahawa ramai peminat bola sepak tanah air telah memohon agar perlawanan Piala AFF disiar di saluran RTM.

“Saya juga telah berbincang dengan Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang turut mencadangkan perkara yang sama.

“Oleh itu, sukacita saya maklumkan bahawa saluran RTM akan menyiarkan perlawanan Piala AFF mulai 27 Disember 2022 (malam ini) sehingga perlawanan akhir yang dijadualkan pada 16 Januari 2023,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Fahmi berkata, peminat boleh menyaksikan sebanyak 10 perlawanan kejohanan yang akan disiarkan di saluran TV2 dan Sukan RTM serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.

“Siaran oleh RTM ini adalah siaran tidak berbayar (free to air – FTA) dan tertakluk kepada syarat kontrak hak siaran eksklusif, iaitu stesen penyiar FTA hanya dibenarkan menyiarkan perlawanan 15 minit lewat daripada waktu sebenar perlawanan,” katanya.

Berdasarkan jadual, perlawanan Malaysia menentang Vietnam di Hanoi bermula jam 8.30 malam ini.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2022/12/1044813/rtm-siar-aksi-malaysia-vietnam

Leave a Comment