BTS Media

Nazri persoal bila UMNO mahu ada pemilihan, tunggu lepas PRU16 mungkin UMNO dah hilang

UMNO dianggap tidak demokratik jika tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Nazri Aziz.

Nazri berkata cadangan untuk tidak dipertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden bakal menjadi satu lagi ‘episod hitam’ selepas prestasi buruk parti pada PRU15.

Selain menyekat demokrasi dalam UMNO, beliau berkata cadangan itu sudah “lapuk”, dan sekali gus menunjukkan bahawa UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

“Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk pada PRU15 lalu,” lapor Utusan Malaysia.

Nazri berkata, cadangan dua jawatan itu tidak dipertandingkan, merujuk presiden dan timbalan presiden yang masing-masing disandang Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, seolah-olah memperkecilkan keupayaan mereka.

Ini kerana menurut beliau, kedua-dua pemimpin itu terbukti mampu menang pada pemilihan parti 2018, sekali pun tidak ada jawatan dalam kerajaan.

“Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

“Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan presiden dipertandingkan pada 2018…beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang sebab ahli-ahli UMNO mahu amalan demokrasi dalam parti subur,” katanya.

Beliau berkata semua boleh terima jika sebelum ini parti tidak mahu diadakan pemilihan, kerana mahu tumpu kepada PRU15 dan tidak mahu berlaku perpecahan dalam parti.

Nazri mempersoalkan bila lagi mahu diadakan pemilihan sekiranya selepas PRU15 juga tetap masih tidak mahu berbuat demikian.

“Bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, UMNO sudah tidak ada lagi,” katanya.

Nazri berkata, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

“Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam UMNO, tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi kalah teruk.

“Mereka bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka akan tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” katanya.

Leave a Comment