BTS Media

‘Ceramah besar’ PRU15 MCA di Cheras tarik kurang 30 orang

GAMBAR ATAS: Malay Mail.

 

Oleh Fetty Rara

MCA, komponen Cina gabungan Barisan Nasional (BN) nampaknya mengalami kesukaran untuk menarik penyokong di kerusi Parlimen Bangi di Selangor malam tadi.

Hujan lebat turut menyumbangkan kepada kurangnya orang ramai hadir ke ceramah tersebut di Dataran Peniaga Cheras.

Habis sebahagian besar bendera, poster dan sepanduk BN yang memaparkan gambar calon MCA Hoh Hee Lee basah lencun terkena hujan.

Jika selalunya kawasan itu sesak dengan orang ramai sama ada siang atau pun malam, namun malam tadi suasana dilihat lebih lengang.

Di dalam kedai kopi di mana ceramah berlangsung kelihatan kurang daripada 20 orang, kebanyakannya ahli jawatankuasa MCA yang berpakaian serba biru, sementara yang berpakaian lain hanya duduk untuk makan malam.

Dua tiga orang lagi dilihat khusyuk memberi perhatian kepada ucapan Hoh selama dua jam di situ.

Walaupun Hoh berucap menggunakan mikrofon, namun suaranya jelas tidak mampu menandingi bunyi bising percakapan riuh dari dalam restoran.

Pada masa yang sama “ceramah besar” MCA itu disiarkan secara “live stream” melalui Facebook, tetapi bilangan yang menonton didapati hanya tidak lebih daripada 10 orang.

Pada 2008, Hoh bertanding untuk kerusi parlimen Serdang, sebelum kawasan tersebut diubah dan dinamakan Bangi. Beliau tewas kepada Teo Nie Ching daripada DAP dengan majoriti undi 21, 025.

Pada PRU15, Hoh akan berdepan dengan Shahredzan Johan daripada Pakatan Harapan (DAP), Myhammad Nazrul Md Nazir daripada Perikatan Nasional (PAS), Annuar Salleh daripada Gerakan Tanah Air (Berjasa) dan Chee Chee Meng daripada Parti Rakyat Malaysia.

Dua ahli perniagaan, Suthan Mookiah dan Muhammad Fauzi Hasim, dan pakar kesihatan alam sekitar Dr Jamal Hisham Hashim akan bertanding sebagai calon bebas.

-BTS Media

Leave a Comment