Oleh Yusoff A. Shariff
TAN SRI Muhyiddin Yassin menafikan kononnya memungkiri janji yang dibuat kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertanding di Sarawak.
Muhyiddin berkata satu-satunya perjanjian yang dibuat dengan GPS ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di mana Muhyiddin adalah presiden, tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri lepas dan bukannya pilihan raya parlimen.
“Dia kata kami mungkir janji. Siapa yang mungkir janji? ” katanya pada sidang media di Pendang selepas ceramah politik PN Kedah semalam.
Bekas perdana menteri itu menjawab kritikan Abang Johari terhadap PN yang kononnya mungkir janji tidak akan bertanding kerusi di Sarawak pada PRU15.
PN telah memutuskan untuk bertanding di empat kerusi parlimen di Sarawak, iaitu Saratok, Lubok Antu dan Bintulu.
Muhyiddin berkata sebelum pilihan raya negeri, Abang Johari telah bertemu beliau dan meminta sokongan presiden Bersatu itu kepada GPS dengan cara tidak bertanding di Sarawak, kerana bekas ADUN Krian, Ali Biju mahu bertanding dalam pilihan raya negeri.
Permintaan itu dibuat walaupun Bersatu mempunyai Ali, serta puluhan ribu ahli di kawasan kerusi Kemena dan kawasan parlimen Bintulu, tambah Muhyiddin.
Muhyiddin berkata beliau telah meyakinkan Ali supaya tidak bertanding dalam pilihan raya negeri dan ketepikan hasrat PN untuk bertanding dalam pilihan raya negeri kerana menghormati Abang Johari.
Ali akhirnya bertanding di kerusi Krian sebagai calon bebas, tetapi kemudian menarik balik pencalonannya dan menyokong calon GPS.
Muhyiddin berkata walaupun PN menghormati dasar GPS, namun gabungan itu telah pun bertapak di Sarawak dan beliau perlu menghormati dan menghargai pemimpin Bersatu dan PN di sini.
“Beliau (Abang Johari) kata, ‘Tak apa, serahkan (pilihan raya) negeri kepada saya, kamu boleh bertanding di kerusi parlimen…saya masih ingat ada saksi bersama saya.”
Muhyiddin berkata Abang Johari sepatutnya berjumpa beliau untuk membincangkan isu PN bertanding di Sarawak, tetapi sebaliknya menghantar “orang kuat” beliau Datuk Ibrahim Baki dan seorang lagi bernama “Datuk Abdul Rahman”.
Beliau memberitahu mereka tentang perjanjian yang dibuat dengan Abang Johari, bahawa mana-mana parti sepatutnya boleh bertanding dalam sebuah negara berdemokrasi.
Muhyiddin juga berkata PN perlu bertanding di Bintulu dan Lubok Antu kerana bekas Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin telah keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Jadi, apa pun perkara itu sudah dibincangkan. Mengenai kenyataan beliau (Abang Johari) (bahawa PN mungkir janji), saya tidak mahu bertengkar dengannya.
“Dia kawan baik saya, dan dia menyokong saya semasa saya menjadi perdana menteri. Jadi saya menghargai itu (sokongan), tetapi dia juga harus faham.”
Pada 6 Nov, Abang Johari menegur PN kerana kononnya mungkir janji untuk tidak bertanding di Sarawak pada PRU15.
Beliau berkata gabungan telah lupa perjanjian antara kedua-dua parti bahawa PN tidak akan ‘menyentuh’ Sarawak.
-BTS Media