GAMBAR: APM Kedah.
Oleh Zainal AS Rashid
SETAKAT pagi ini (Sabtu 29 Okt) jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah telah meningkat kepada 267 orang daripada 87 keluarga berbanding 87 orang daripada 27 keluarga semalam.
Menurut Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, empat PPS baharu telah dibuka di daerah Baling dan Kota Setar, malam tadi.
“Tiga PPS dibuka di Baling pada 8 malam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari yang menempatkan 57 orang daripada 20 keluarga, PPS SK Sri Bayu (33 orang, 11 keluarga) dan PPS SK Siong (18 orang, sembilan keluarga).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata satu PPS di Kota Setar ialah SK Suka Menanti yang dibuka pada pukul 7.30 malam untuk menempatkan 73 orang daripada 21 keluarga.
Seramai 86 mangsa daripada 26 keluarga di PPS SK Binjai, Kubang Pasu yang dibuka sejak Rabu lalu masih beroperasi.
“Hujan lebat selama beberapa jam di daerah Baling dan Kota Setar telah menyebabkan paras air meningkat dan berlakunya banjir. Keadaan cuaca pagi ini mendung,” katanya.
Menurut laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar telah melepasi paras bahaya dengan bacaan 2.82m setakat pukul 9.00 pagi.
Sementara itu, paras Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar pula telah melebihi tahap amaran dengan bacaan 1.89m.
-BTS Media