GAMBAR ATAS: PA.
LIZ TRUSS telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri Britain dan akan berundur selepas pertandingan tergempar Parti Konservatif selama seminggu untuk mencari penggantinya.
Perkembangan terbaharu ini memungkinkan bekas perdana menteri Boris Johnson kembali ke Downing Street, lapor The Guardian.
Peletakan jawatannya menyusul setelah politik Britain bergelora selama 45 hari, dan menyaksikan belanjawan mini yang dibentangkan oleh pentadbiran Truss teruk menjejaskan pasaran.
Beliau mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat memegang jawatan itu.
Kemungkinan Johnson kembali memegang jawatan perdana menteri kini meluas dibahaskan di tengah-tengah spekulasi bahawa beliau juga sedang merancang berbuat demikian.
Hanya enam minggu selepas beliau meninggalkan No. 10, setelah dipaksa berundur oleh ahli parlimen parti Konservatifnya sendiri berikutan pelbagai skandal, penyokong yang sama juga kini mahukan beliau kembali bagi memimpin negara.
Namun demikian, pengkritik beliau juga telah menyuarakan pendapat membantah gesaan itu, dengan sesetengahnya mengugut untuk berpaling tadah ke Parti Buruh.
-BTS Media