BTS Media

Rakyat tahu kenapa Ismail Sabri mahu PRU diadakan segera

Oleh Yusoff A. Shariff

RAKYAT tahu kenapa Perdana menteri Ismail Sabri Yaakob akan diadakan PRU15 secepat mungkin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, berkata ia adalah kerana tekanan dan desakan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam catatan terbaharunya dalam Facebook pada Rabu (12 Okt) beliau berkata, oleh itu Ismail Sabri tidak perlu mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya.

Itu respons Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota terhadap kenyataan Ismail Sabri yang mengaitkan pembubaran parlimen dengan surat yang dikemukakan oleh 12 bekas menteri PN kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Terdahulu Ismail Sabri berkata, tindakan menteri PN yang mengutus surat itu punca suasana tidak harmoni dalam kerajaan serta membelakangkan institusi perdana menteri.

Dia turut membangkitkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini mengisytiharkan Barisan Nasional sebagai musuh utama PN yang mengundang bibit perpecahan.

Apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin ditafsirkan sebagai musuh dalam konteks bersifat antagonistik, walhal sebenarnya dimaksudkan musuh dalam konteks lawan politik.

Saifuddin menjelaskan bahawa surat yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong  itu hanyalah bertujuan untuk  menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU ke-15 tidak dilaksanakan pada musim tengkujuh.

Menurut beliau, rakyat mahu supaya kerajaan menumpukan perhatian penuh kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa surat tersebut hanyalah bertujuan bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU ke-15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh di mana berkemungkinan berlaku banjir.

“PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Ini merupakan antara sebab pengerusi PN (Muhyiddin) melancarkan skuad prihatin nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa majlis pelancaran jentera PN Pahang baru-baru ini,” ujarnya.

-BTS Media

Leave a Comment