BTS Media

Mufti Pulau Pinang gesa siasat kesahihan individu dakwa keturunan Rasulullah

MUFTI Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pihak berkuasa perlu menyiasat individu yang mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad.

Ini bagi memastikan kebenaran dakwaan tersebut, sama ada menerusi semakan dokumen tulen atau penyaksian pihak boleh dipercayai.

Wan Salim berkata keraguan dan penipuan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara di mana-mana, termasuk dakwaan oleh individu tertentu konon dirinya berketurunan Nabi Muhammad.

“Saya harap pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasul yang mulia, malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan boleh diminta memberi bantuan dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, tular berita tentang individu yang mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad tiba di Malaysia bagi menyampaikan ceramah bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Program individu yang dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi itu gagal mendapat kelulusan beberapa jabatan agama negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga menyebabkan ia terpaksa dibatalkan.

Wan Salim berkata, umat Islam tidak boleh memberi reaksi tergesa-gesa dan taksub, sama ada menyokong atau menolak seseorang yang mendakwa berketurunan Rasulullah.

“Cuma kita perlu tahu dan faham bahawa di dalam pertimbangan Islam, keturunan yang mulia bukan kriteria bagi kemuliaan. Seorang hamba abdi yang beriman dan taat kepada Allah dan Rasul lebih mulia daripada seorang berketurunan Rasul, tetapi jahat dan munafik.”

Beliau berkata, pihaknya difahamkan penganjur program yang melibatkan Mawla di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini tidak memohon kebenaran pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang.

“Saya juga difahamkan mana-mana pihak yang ingin membawa masuk penceramah agama dari luar negara dikehendaki mendapat kebenaran Jakim dan polis terlebih dahulu.

“Sebenarnya, saya memang dijemput hadir di majlis tersebut. Pada mulanya saya jawab akan hadir, tetapi membatalkannya setelah mendapat maklumat yang meragukan mengenai warga Maghribi tersebut.”

-BTS Media

Leave a Comment