BTS Media

Kontraktor, taikun ‘rai’ bajet besar untuk pembangunan, kata Ahli Parlimen

PERUNTUKAN besar berjumlah RM94 bilion untuk pembangunan dalam Bajet 2023 bakal “diraikan” kontraktor kerajaan dan taikun, kata seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen, berkata beliau juga menjangkakan kumpulan terbabit akan menjadi penyumbang utama dana politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dalam beberapa kenyataan di Twitter, Ahli Parlimen PKR itu berkata, pada setiap tahun kebiasaannya peruntukan untuk pembangunan sepatutnya berada antara RM50 hingga RM60 bilion.

“Peruntukan yang tinggi tahun ini ‘sangat jelas ia satu perbelanjaan demam pilihan raya’.

“Saya pasti ramai taikun dan kontraktor ini akan mengeluarkan buku cek mereka untuk membuat sumbangan politik tidak lama lagi sempena PRU15,” katanya.

Beliau berkata, RM369 bilion untuk Bajet 2023 adalah paling besar dalam sejarah dan kerajaan terpaksa membuat hutang RM97 bilion, yang didakwanya sebagai hutang pembangunan paling besar untuk menampung perbelanjaan itu.

“Perbelanjaan ini melebihi kemampuan! Kerajaan berhasrat untuk meminjam RM97 bilion untuk membayar perbelanjaan pembangunan paling tinggi ini,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mahu mengurangkan perbelanjaan operasi untuk 2023 dengan kira-kira RM12 bilion berbanding 2022.

“Dengan pengurangan ini, kerajaan perlu memberi penjelasan adalah subsidi akan dipotong secara aktif tahun depan,” katanya.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/07/kontraktor-taikun-rai-bajet-besar-untuk-pembangunan-kata-ahli-parlimen/

Leave a Comment