BTS Media

Perpaduan: Muhyiddin dan Hadi adakan pertemuan

Oleh Yusoff A. Shariff

DALAM apa yang dilihat sebagai bukti pengukuhan perpaduan Perikatan Nasional (PN), presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan selama dua jam semalam (Isnin 26 Sept).

Dalam satu catatan Facebook hari ini (27 Sept), Muhyiddin dilihat bergambar bersama timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ahli majlis tertinggi Datuk Seri Dr Radzi Jidin, dan timbalan presiden PAS Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.

Pertemuan diadakan di kediaman Muhyiddin.

Muhyiddin berkata pertemuan itu amat bermakna, dan pelbagai isu dipersetujui bagi mengukuhkan PN menjelang PRU15.

Minggu lalu timbul khabar bahawa Hadi juga telah bertemu dengan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha untuk memberikan nafas baharu kepada hubungan antara kedua-dua parti melalui Muafakat Nasional.

Susulan itu Muhyiddin dilapor akan berjumpa dengan Hadi untuk mengetahui apa yang dibincangkan.

Muafakat Nasional ditubuhkan selepas pilihan raya umum lepas untuk mengukuhkan perpaduan parti Melayu dan Islam.

Bagaimana pun, PAS pada 2020 telah menyertai PN, yang turut disertai oleh Bersatu, STAR Sabah, SAPP dan Gerakan.

Tindakan itu dikatakan tidak disukai oleh UMNO kerana menganggap Bersatu sebagai seterunya selepas PAS.

-BTS Media

Leave a Comment