Oleh Zainal AS Rashid
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang bekerjasama dengan beberapa penyedia platform e-dagang tempatan dalam usaha mengekang penjualan minyak masak dalam talian.
Pengarah Penguatkuasa kementerian itu Azman Adam berkata hasil kerjasama Shopee, Lazada dan mudah.my, sebanyak 121 iklan berkaitan telah dinyahkan sejak Januari hingga 19 Sept, dan sebanyak 55 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.
Menurut Azman dalam kenyataan pada Rabu (21 Sept), KPDNHEP telah mengambil tiga tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap pihak yang didapati bersalah menjual minyak masak dalam talian membabitkan rampasan bernilai RM1,564.90.
Antara kesalahan, termasuk menjual minyak masak secara borong atau runcit tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat tidak berlesen.
-BTS Media