BTS Media

Penduduk KL beri tempoh hingga Isnin kepada DBKL, Shahidan

GAMBAR ATAS: Gary Houston, CC0, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Fetty Rara

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim diberi tempoh sehingga Isnin (26 Sept) untuk menjawab tuntutan penduduk bagi rancangan tebatan banjir menjelang musim tengkujuh.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili sekumpulan penduduk Kuala Lumpur semalam (20 Sept) berkata surat telah dihantar kepada menteri dan agensi bertanggungjawab.

Beliau berkata mereka bersedia untuk menyaman sekiranya pihak berkuasa gagal memenuhi tuntutan berkenaan.

Dalam satu kenyataan Lim berkata kebanyakan maklumat yang diminta oleh kumpulan penduduk itu merupakan kemas kini status langkah-langkah tebatan banjir yang dijanjikan oleh DBKL kepada Ketua Audit Negara akan dilaksanakan pada 2022.

Pada Ogos lalu, Ketua Audit Negara telah mengeluarkan laporan yang menekankan beberapa kegagalan DBKL untuk melaksanakan projek tebatan banjir yang dicadangkan dalam pelan induk banjirnya sendiri.

Laporan mendapati bahawa hanya lapan daripada 104 atau 7.7 peratus langkah tebatan banjir yang dicadangkan dalam pelan induk banjir telah dilaksanakan dan, atau sedang dalam proses pelaksanaan oleh DBKL.

Susulan respons DBKL kepada Ketua Audit Negara bahawa sebanyak 22 lagi langkah tebatan banjir akan dilaksanakan pada 2022, penduduk KL kini meminta supaya dikemukakan perkembangan mengenai 22 langkah itu.

Turut dirujuk, langkah tebatan jangka pendek dalam pelan induk banjir yang belum dilaksanakan di kawasan sering dilanda banjir meliputi Jalan Tun Razak, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan U-Thant setakat Mac. 2022.

Lim berkata, maklum balas pihak berkuasa tempatan ialah cadangan langkah tebatan banjir bagi Jalan Tun Razak dan Jalan U-Thant akan dijalankan pada 2022.

Penduduk memohon dimaklumkan sama ada langkah mitigasi ini benar-benar telah dilakukan sejak itu.

Beliau berkata penduduk juga meminta maklumat mengenai sebarang langkah tebatan banjir lain yang telah dilaksanakan atau sedang dirancang untuk dilaksanakan oleh DBKL bagi menangani risiko banjir di Kuala Lumpur.

“Penduduk percaya maklumat ini perlu untuk orang ramai meneliti secara terperinci langkah-langkah tebatan banjir DBKL bagi memastikan sama ada ia mencukupi, dan untuk melibatkan diri serta memberi maklum balas jika tidak.

Lim berkata ketelusan maklumat adalah penting untuk kesedaran dan penyertaan awam, yang seterusnya mencerminkan dasar yang baik.

Ini katanya adalah penting bagi isu serius dan penting seperti banjir, yang telah menjejaskan kehidupan dan merosakkan harta benda di Kuala Lumpur.

Beliau berkata hak untuk mendapatkan maklumat adalah juga sama dengan hak seseorang untuk mendapatkan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat.

Kuala Lumpur dilanda banjir pada Disember tahun lalu, dan juga pada Mac, April dan Mei tahun ini hingga menjejaskan lalu lintas dan menyebabkan banyak kenderaan mengalami kerosakan.

-BTS Media

Leave a Comment