Oleh Zainal AS Rashid
BAGI presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi tidak ada isu mengadakan pilihan raya umum pada musim tengkujuh kerana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melakukannya pada 1999.
Beliau mendakwa pihak pembangkang hanya mencuba untuk menaikkan kemarahan rakyat dengan mengatakan bahawa pilihan raya pada akhir tahun akan mendedahkan mereka kepada bahaya banjir.
Melalui catatan Facebook pada Isnin (19 September) Ahmad Zahid berkata pembangkang lupa bahawa semasa Tun Mahathir mengadakan pilihan raya pada 1999, isu itu tidak pula ditimbulkan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), musim tengkujuh biasanya bermula dari September hingga akhir tahun.
Bajet 2000 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober, 1999 oleh menteri Kewangan ketika itu Tun Daim Zainuddin, tetapi parlimen dibubarkan pada 10 November sebelum ia diluluskan.
Ahli Parlimen pembangkang telah menyuarakan kebimbangan bahawa mengadakan pilihan raya pada hujung tahun akan mendedahkan pengundi kepada bencana banjir, terutama di sebelah pantai timur.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan sedemikian hanya menunjukkan bahawa pembangkang bimbang akan kalah pilihan raya kerana kononnya “gagal memenuhi manifesto pilihan raya mereka” sebelum ini.
Beliau juga mendakwa itu sebabnya mereka (pembangkang) mahukan lebih masa untuk mempengaruhi rakyat supaya tidak mengundi BN.
Beliau yang juga pengerusi BN berkata BN tidak akan memberikan peluang untuk Pakatan memusnahkan imej BN.
-BTS Media