Oleh Aziz A. Shariff
BEBERAPA lama sekali timbul isu “kafir mengkafir” dalam kalangan ahli politik tertentu di negara kita.
Tak tahulah sama ada ia sengaja ditimbulkan kerana pilihan raya umum dijangka diadakan tidak lama lagi, walaupun tidak semestinya tahun ini.
Isu berulang yang terbaharu apabila presiden PAS Abdul Hadi Awang secara “sempoi” sahaja berkata gabungan Pakatan Harapan (PH) dianggotai oleh kumpulan individu yang “tidak beriman dan tidak bermoral”.
Reaksi terhadap kenyataan itu agak pantas datang daripada bukan sahaja dalam gabungan PH, tetapi juga di luar kepompong itu, selain tidak kurang juga kemarahan dalam kalangan orang ramai.
Apa tidaknya, apabila kenyataan yang sensitif dan serius seperti itu terlalu mudah dilemparkan, walaupun sasarannya mungkin termasuk individual bukan Islam mahu pun yang Islam.
Pada masa negara ini amat memerlukan perpaduan merentas politik dan ideologi demi kemakmuran, apa halnya ia dibangkitkan?
Secara amnya, kenyataan seperti itu boleh menjurus kepada berlakunya polarisasi lebih meluas dalam kalangan rakyat, dan sekali gus boleh mengetepikan segala laungan perpaduan, lebih-lebih lagi di kala negara baharu sahaja menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-65 dan Hari Malaysia ke-59.
Sebagai sebahagian daripada ‘sekutu’ dalam kerajaan sekarang , kenyataan Hadi itu tidak mampu memampatkan lagi rasa hormat kepada sesetengah pemimpin.
Bagi presiden Amanah, Mohamad Sabu (Mat Sabu) yang terkenal dengan kenyataan selambanya, apa yang disuarakan oleh Hadi menimbulkan persoalan tentang “kewarasan” presiden parti PAS itu.
Beliau berkata tidak perlu memberikan perhatian kepada kenyataan seperti itu, kerana dia mendakwa seolah-olah Hadi sedang berdepan dengan “isu-isu peribadi”.
Seterusnya, Mat Sabu memberitahu media semasa menghadiri Konvensyen Nasional Amanah bahawa isu tersebut tidak perlu dipanjangkan, kerana Hadi menukar pandangan setiap minggu.
Selain Mat Sabu, beberapa ahli parlimen pembangkang turut memberikan reaksi, termasuk timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub yang mencabar Hadi supaya memberikan bukti terhadap tuduhannya.
Bagi pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad, beliau tidak pun terperanjat dengan dakwaan Hadi itu, kerana menurutnya PAS “sudah kehabisan peluru” untuk menyerang pihak lawan.
Menurut Khalid, dalam Hadi melemparkan tuduhan kononnya orang lain kafir, tidak Islamik atau tidak bermoral, persoalan timbul tentang sama ada PAS mempraktikkan apa yang “diajarnya.”
Beliau bertanya apa sumbangan PAS kepada Kelantan dan Kedah memandangkan penduduknya terus berdepan dengan pelbagai masalah.
Bagi ramai pemerhati, keadaan semakin hangat apabila bekas perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut masuk ke gelanggang dengan mengatakan bahawa hasrat PAS untuk bekerjasama dengan UMNO bertentangan dengan pendirian lama bahawa UMNO kafir.
Presiden parti Pejuang itu semasa sidang media pada Jumaat berkata Hadi pernah melabelkan ahli UMNO sebagai kafir kerana parti itu bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN), tetapi sekarang mendakwa “membenarkan ahli PAS menjadi kafir” melalui Muafakat Nasional.
Segala yang berlaku ini seolah-olah tanpa kesedaran bahawa rakyat waras sedang memerhatikan perkembangan pemimpin yang mereka pilih sewenang-wenangnya membuat retakan ketika negara amat memerlukan perpaduan semua pihak untuk menangani pelbagai isu lebih penting.
Penulis adalah Ketua Editor BTS Media.
-BTS Media