Oleh Zainal AS Rashid
PRESIDEN Iran telah mengarahkan penyiasatan segera berhubung kematian seorang wanita muda semasa dalam tahanan.
Menurut agensi berita Iran, IRNA, Presiden Ebrahim Raisi meminta Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi supaya menyiasat punca kejadian dengan segera dan memberikan kes itu perhatian khusus.
Media tempatan di Iran melaporkan bahawa Mahsa Amini, 22, ditahan awal minggu ini oleh pasukan polis “moral” Iran setelah didapati tidak memakai tudung.
Pemakaian tudung diwajibkan bagi wanita di Iran sejak selepas Revolusi Islam 1979 dan anggota polis moral menguatkuasakan kod berpakaian yang ketat.
Polis pada Khamis berkata bahawa Mahsa yang ditahan pada Selasa, dibawa ke hospital selepas dia didakwa mengalami serangan jantung semasa dalam tahanan.
Laman web berita pro-reformasi, “Sedaye Eslahat” memetik bapa saudara Amini berkata anak saudaranya itu tidak pernah mempunyai sejarah penyakit jantung.
Kemudian, pada Jumaat, Polis mendakwa tiada keganasan berlaku kerana tiada sentuhan fizikal antara pegawai dan Mahsa semasa dia dalam tahanan.
Polis juga menunjukkan rakaman litar tertutup yang menunjukkan Mahsa berada di dalam balai polis bersama tahanan lain.
Video itu menunjukkan detik apabila dia berdiri dari kerusi, bergerak menghampiri seorang wanita, dan kemudian memegang kepalanya dengan kedua-dua tangan lalu rebah ke kerusi. Segmen video seterusnya menunjukkan dia diusung keluar.
Laman web rasmi badan kehakiman Iran, mizan.news, berkata ketua pendakwa raya Tehran, Ali Salehi, telah mengarahkan pasukan patologi forensik polis memeriksa semua aspek perubatan kes itu.
Pihak polis moral Iran telah dikritik sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana layanan kasar terhadap orang ramai, terutamanya wanita muda.
Beberapa video sebelum ini menunjukkan dengan jelas kekasaran dan keganasan yang dilakukan oleh pegawai polis moral apabila memaksa wanita masuk ke dalam kenderaan polis.
Berikutan kritikan dan bantahan meluas daripada penduduk Islam Iran, pemimpin agama tertinggi negara itu Ayatollah Ali Khameini turut menyokong supaya pihak berkuasa tidak menggunakan kekerasan terhadap wanita yang tidak mematuhi kod pakaian rasmi.
Bagaimana pun, puak ekstremis dalam kerajaan tegas berpendirian supaya hukuman lebih keras, termasuk sebatan dikenakan terhadap wanita yang ingkar. Mereka mendakwa wanita yang menampakkan rambut mereka membawa kepada keruntuhan moral dan perpecahan keluarga.
Kes Mahsa telah mencetuskan ribuan kecaman dan protes daripada aktivis hak asasi, orang ramai, ahli sukan, selebriti dan tokoh awam.
Bekas presiden Mohamad Khatami menyifatkan cara polis moral menguatkuasakan pematuhan moral Iran sebagai satu “bencana”, manakala ahli politik Mahmoud Sadeghi menggesa beliau tampil menyatakan pendirian secara lebih terbuka.
Bekas pemain bola sepak popular Iran, Ali Karimi, dalam satu tweet berkata ketika anak-anak pegawai tinggi meninggalkan negara itu untuk bebas di luar negara, “anak-anak kita sedang mati.”
Dalam satu lagi tweet, bekas pemain bola sepak Hossein Mahini, tanpa beralas berkata, “Kami benci kamu” (merujuk kepada pihak penguatkuasaan moral).
Peguam terkemuka Iran, Saeed Dehghan menyifatkan kematian Mahsa sebagai satu “pembunuhan”, kerana dia didapati telah dipukul di kepala hingga retak bahagian bawah tengkorak.
-BTS Media