GAMBAR: Facebook PMOA.
SEORANG pelajar Orang Asli dari Perak berjaya meraih kelulusan cemerlang apabila dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada University College London (UCL) yang merupakan universiti ke-8 terbaik di dunia.
Persatuan Mahasiswa Orang Asli (PMOA) melalui satu tweet berkata Susherrie Suki telah berjaya menamatkan pengajian dari Bartlett School of Planning UCL di mana dia melanjutkan pelajaran tinggi dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah.
Dengan ini Susherrie Suki muncul sebagai graduan Orang Asli pertama dari Semenanjung memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada UCL.
Ibu bapa gadis berketurunan suku Semai ini masing-masing berasal dari Kampung Orang Asli Chinggung, Behrang Ulu, Tanjung Malim, dan Kampung Ulu Asli Geruntum di Gopeng.
Dengan kejayaan ini, Susherrie ditawar untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat Sarjana dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di universiti yang sama.
Pada 2016, Susherrie berjaya memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebelum diterima masuk ke Kolej MARA Seremban.
Menurut PMOA, Susherrie antara pelajar yang mendapat biasiswa MARA di bawah Program Pembangunan Bakat Muda (YTP).
Di universiti, Susherrie aktif dalam pelbagai aktiviti di dalam dan di luar kampus, termasuk sebagai ahli Royal Town Planning Institute di mana dia memegang jawatan ketua biro publisiti untuk Bartlett Urban Planning Society, dan juga antara pemimpin Persatuan Malaysia UCL.
PMOA ingin mengucapkan TAHNIAH kepada salah seorang ahli PMOA iaitu Saudari Susherrie Suki kerana telah berjaya menamatkan pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dari Bartlett School of Planning di University College London (UCL), United Kingdom (UK) dalam… pic.twitter.com/ZYNtRSX09M
— Persatuan Mahasiswa Orang Asli (@MahasiswaOA) September 13, 2022
-BTS Media