Oleh Zainal AS Rashid
Malaysia pandang serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang melakukan salah laku, terutamanya penderaan atau penganiayaan terhadap pekerja asing, termasuk pekerja domestik Indonesia, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata Kementerian Luar Negeri telah menyatakan pendirian kerajaan Malaysia kepada Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Hermono, dan kepada rakan sejawatan, Menteri Luar Indonesia Retno LP Marsudi.
Beliau memberitahu media di Kuantan pada Ahad (4 Sept) bahawa pada masa ini, Kementerian Luar Negeri sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur bagi memberikan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa, serta mendapatkan status terkini siasatan.
Beliau mengulas tentang kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera majikannya di Batu Caves, Selangor, baru-baru in.
Saifuddin berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan dimaklumkan polis akan memberi keutamaan kepada kes itu.
Jumaat lalu, media melaporkan berita seorang pembantu rumah warga Indonesia didera majikannya termasuk didakwa tidak dibayar gaji sejak mula bekerja pada 2019.
Difahamkan mangsa kini berada di Hospital Selayang untuk rawatan.
Polis dalam kenyataan pada Sabtu lepas berkata mangsa mendakwa didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri di sebuah rumah.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, mangsa sering dipukul oleh majikannya sejak dia bekerja di rumah mereka.
Beliau berkata, mangsa telah melarikan diri dari rumah itu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang.
Susulan laporan oleh pembantu rumah itu, seorang wanita berusia 35 tahun ditahan pada Khamis, dan direman lima hari hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
-BTS Media