BTS Media

Bung Moktar, isteri diarah bela diri atas tuduhan rasuah pelaburan RM150 juta FELCRA

GAMBAR ATAS: The Star.

 

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diarah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan setiap kesalahan dan elemen penting.

Beliau berkata kes prima facie telah dibuat terhadap tertuduh dan memerintahkan mereka membela diri.

Hakim kemudian memberi mereka tiga pilihan – memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberikan pernyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh di mana dia tidak boleh disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.

Beliau berkata, jika memilih untuk berdiam diri, mahkamah akan mensabitkan kesalahan.

Bung Moktar, 64, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, dan Zizie Izette kemudiannya berkata mereka akan memberi keterangan secara bersumpah.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Beliau didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta untuk mendapatkan kelulusan FELCRA Berhad melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bagi pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif FELCRA, didakwa menerima rasuah wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette, di Public Bank cawangan Taman Melawati antara pukul 12.30 tengah hari dan 5.00 petang 12 Jun 2015.

Untuk pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa menerima suapan wang tunai RM262,500 daripada Madhi menerusi akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette, untuk tujuan sama.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette.

Dua kesalahan terakhir itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama pada pukul 12.16 tengah hari dan pukul 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pada 17 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 2 Jan 2020.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas pengurus besar FELCRA Investments Adnan Yusof, ahli lembaga FELCRA Dr Habibah Suleiman, Asisten Superintenden Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta Ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

Kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How, manakala peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar dan peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri adalah peguam bagi Zizie Izette.

-BTS Media

Leave a Comment