GERAKAN Tanah Air (GTA) sedia mengadakan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tetapi tidak tahu sama ada perbincangan itu akan membuahkan hasil, kata Pengerusi GTA Tun Dr Mahathir Mohamad kepada media selepas merasmikan program Semangat Merdeka GTA di Putrajaya pada Selasa (30 Ogos).
Mengulas mengenai gesaan pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti pembangkang mempertimbang untuk merundingkan semula kerjasama dengan gabungan itu, Dr Mahathir berkata perbincangan sedemikian harus melibatkan semua pihak dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam GTA.
Dr Mahathir berkata Muhyiddin ada bertemu dengannya baru-baru ini tetapi mereka tidak bercakap mengenai kerjasama politik.
Beliau mengulangi bahawa GTA, yang terdiri daripada parti Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan NGO, akan memerangi penyalahgunaan kuasa dan rasuah, serta memperjuangkan hak Melayu dalam usaha membentuk kerajaan yang bersih.
Menurut beliau, GTA akan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan pada 6 Sept.
-BTS Media