PEGAWAI imigresen dalam pertengkaran dengan seorang pemohon pasport dalam kejadian di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini telah ditukarkan ke bahagian lain.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud juga berkata kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan segera dibuka oleh Bahagian Integriti JIM.
Beliau berkata jabatan itu memandang serius perkara tersebut dan pegawai berkenaan tidak bertindak mengikut slogan “Integriti, Profesional, Mesra walaupun diprovokasi oleh orang awam.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Khairul berkata memang tidak wajar bagi penjawat awam seperti pegawai imigresen meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam.
Sebelum ini tular dalam media sosial, video sepanjang 26 saat menunjukkan seorang lelaki marah kerana tidak mendapat layanan sewajarnya ketika memohon pasport di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Seksyen 14, Shah Alam.
Lelaki tersebut yang membuat laporan polis selepas berlaku pertengkaran dengan pegawai-pegawai imigresen.
Menurut laporan, lelaki itu pergi ke pejabat imigresen di Kuala Selangor kerana ia berdekatan dengan rumahnya di Puncak Alam, tetapi mendapati sistem dalam talian menghadapi masalah, lalu dia pergi ke UTC Anggerik Mall di Shah Alam.
Dia mendakwa setelah menunggu sekurang-kurangnya empat jam, dia bertanya kepada seorang pegawai penyelia mengapa nombor gilirannya tidak dipanggil, tetapi pegawai itu berkata dia tidak pergi ke kaunter.
Lelaki itu tidak berpuas hati dengan jawapan itu, menyebabkan dia menendang tiang besi sambil berkata dia dipermainkan dan diperbodohkan.
Susulan kejadian, lelaki itu berkata seorang pegawai wanita yang menjaga kaunter lima menjerit dan memaki hamunnya serta menghentak meja.
“Dia menghalau saya keluar dari pejabat dan memberi amaran supaya tidak membawa keluarga saya ke sini. Saya merakam kejadian itu.”
Dalam video tular itu, lelaki itu kedengaran berkata, “Awak kurang ajar dengan saya, awak main-main dengan saya, tiada masalah… saya dah rakam semuanya.”
Ini diikuti oleh pegawai wanita itu menjawab “Hey, siapa yang salah? Tiada adab. Keluar. Eh, rakam, bodoh!”
Lelaki itu juga berkata, pejabat imigresen terbabit tidak meletakkan notis bahawa hanya 200 nombor dikeluarkan setiap hari kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan provokasi yang dilakukan orang awam berkenaan.
“Pelbagai kemudahan disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan atas talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.
“Justeru, JIM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini. JIM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan ini,” katanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata pengadu membuat laporan dan telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri kerana tiada unsur jenayah.
-BTS Media