BTS Media

Tiada kesalahan dilakukan oleh gerai nasi ayam Sg Ara – Ahmad Zakiyuddin

TIADA tindakan akan diambil terhadap gerai nasi ayam di Sungai Ara, Pulau Pinang yang menjadi tular setelah dituduh menghidangkan makanan tidak halal.

Pemiliknya didapati tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah undang-undang Islam.

Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata berdasarkan siasatan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), tiada kesalahan dilakukan oleh pemiliknya menurut undang-undang Islam.

Beliau, bagaimana pun menasihatkan perniagaan makanan yang menjual produk makanan mereka sebagai halal supaya mendapat pensijilan halal yang sewajarnya, dan bagi yang tiada sijil pula supaya tidak mengelirukan orang ramai (dengan beroperasi tanpa pensijilan halal).

Isu tersebut menjadi tular selepas sebuah video sepanjang 38 saat, menunjukkan dua lelaki di luar sebuah restoran bukan-Islam di Paya Terubong, George Town memunggah bekas makanan daripada sebuah kereta dan membawanya ke dalam.

Susulan itu, timbul dakwaan kononnya makanan yang digunakan dari restoran itu kemudian dijual di sebuah gerai nasi ayam milik peniaga Islam di Sungai Ara.

Video tersebut telah menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Islam, terutama pelanggan yang membeli nasi ayam daripada gerai berkenaan, hingga memaksa pemiliknya menutup perniagaan sementara.

Semalam, penolong pengarah JHEAIPP Mohd Haniff Omar@Wahab berkata pemeriksaan ke atas satu lagi cawangan di sebuah medan selera di Persiaran Gurney yang dimiliki oleh peniaga yang sama juga didapati tidak mempunyai sijil halal.

Zakiyuddin berkata walaupun gerai nasi ayam tersebut mendapatkan bekalan ayam dan daging itik daripada sumber bukan-Islam, namun tiada undang-undang melarangnya.

Ini kerana banyak perniagaan bukan-Islam memiliki status halal, ia tidak menimbulkan masalah, dan ramai dalam kalangan orang Islam menerimanya.

Sementara itu, Kementerian hal Ehwal Pengguna sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas gerai tersebut dan cawangannya di Persiaran Gurney

Timbalan Menteri Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid memberitahu media di Kuala Lumpur pada Khamis (18 Ogos) bahawa siasatan akan dilakukan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan tindakan akan diambil jika didapati bersalah.

Rosol berkata kementerian telah dimaklumkan tentang perkara itu dan pihak berkuasa mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh kedua-dua premis di bawah mana-mana undang-undang.

-BTS Media

Leave a Comment