KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar (Undi 18) sebagai platform pelaksanaan pendidikan pengundi kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ia akan menjadi platform bagi kementerian, universiti awam (UA), Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membincangkan pelaksanaan program pendidikan pengundi membabitkan pelajar.
“Jawatankuasa akan dianggotai wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) daripada 20 UA, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), APR dan SPR serta Bahagian Mahasiswa Holistik, yang mana Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bertindak selaku urus setia.
“Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab melihat keberkesanan pelaksanaan program yang dirancang dan seterusnya mencadangkan mekanisme sesuai bagi menambah baik pelaksanaan program terbabit,” katanya.
Beliau berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan nota kerjasama antara UA, politeknik dan kolej komuniti bersama SPR bagi Program Memperkasa Pendidikan Undi 18 di Kuala Lumpur pada Selasa (16 Ogos).
Sebelum ini, Parlimen meluluskan cadangan pindaan Seksyen 3 (a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkenaan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Julai 2019.
Pindaan itu turut membabitkan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik oleh kerajaan.
Noraini yakin dengan adanya tadbir urus yang jelas itu, sasaran pelaksanaan program pendidikan pengundi kepada pelajar IPTA dan hasrat melahirkan graduan holistik serta seimbang dapat dicapai.
Selain itu, katanya, kerjasama berstruktur antara UA serta Politeknik dan Kolej Komuniti melalui JPPKK sebagai pelaksana serta SPR melalui APR sebagai pihak yang pakar diperlukan dalam mencapai sasaran berkenaan.
Sejak awal tahun ini, katanya, pelbagai program pendidikan pengundi dilaksanakan di IPTA dengan kerjasama APR dan SPR supaya penuntut prihatin dengan sistem pemerintahan negara dan berupaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan berdemokrasi dapat dilahirkan.
Katanya, antara program terbabit ialah pengenalan asas kesedaran mengundi kepada penuntut baharu IPT, penerbitan dan hebahan digital berkaitan pendidikan pengundi, ‘APR associate trainer’ (AAT) atau ‘training of trainers’ (ToT) serta pendedahan terhadap simulasi sebenar pilihan raya.
“Terdapat juga kursus, ceramah, forum, bual bicara, taklimat, bengkel, seminar dan yang seumpamanya berkaitan Undi18, selain Program Mahasiswa Cakna Undi18 dan Jelajah Perpaduan Negara,” katanya.