ATAS: Gambar hiasan /Meriam Yavu/Defencesecurityasia.com.
KEMENTERIAN Kewangan diminta menjelaskan keputusan membeli senjata artileri jarak jauh bernilai RM854 juta melalui rundingan terus.
Ini berikutan dakwaan bahawa kementerian itu telah mengabaikan nasihat daripada Kementerian Pertahanan supaya membuat tender terhad bagi peralatan tersebut.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam catatan Facebook pada Ahad (14 Ogos) berkata, dengan ini Menteri Kewangan yang juga Bendahari UMNO Tengku Zafrul Abdul Aziz wajib memberikan penjelasan.
Beliau berkata amat membimbangkan apabila perolehan bernilai RM854 juta dianugerahkan melalui rundingan terus ketika negara masih menyiasat begitu banyak percanggahan berhubung kontroversi kapal tempur pesisir pantai LCS.
Fahmi turut memuat naik ‘screenshot’ notis tender tersebut daripada Facebook ahli UMNO Zaharin Mohd Yassin.
Notis itu menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah menolak permintaan Kementerian Pertahanan untuk proses tender terhad bagi membeli meriam 155mm dilengkapi sistem yang membolehkan alat tersebut bergerak ke posisi menembak. Bagaimanapun, satu tender terus akan dianugerahkan kepada sebuah syarikat tempatan, MA Analytics.
Laman web MA Analytics menyatakan bahawa syarikat itu menawarkan “perkhidmatan bisnes komprehensif bagi pembekalan peralatan tentera, pertahanan, infrastruktur telekomunikasi dengan pelbagai perkhidmatan dan sumber.”
-BTS Media