BTS Media

Isu LCS: Yang salah tetap salah, mesti ke muka pengadilan – Hishamuddin

KEMENTERIAN Pertahanan (Kementah) akan memberi kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan berhubung isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata kerjasama itu termasuk kepada badan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta audit forensik.

“Saya dan barisan kepimpinan di Kementah tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara.

“Kementah juga memberi jaminan bahawa keputusan Kabinet ini tidak akan mengganggu tiga perkara yang telah saya tegaskan beberapa kali sebelum ini. Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada April (lepas),” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, perkara kedua ialah pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan manakala ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, Kementah sedang giat melakukan kerja rundingan dengan pihak OEM (Original Equipment Manufacturer), vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS disiapkan.

“Penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat mereka perlukan dengan secepat mungkin,” katanya yang turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu itu, pada Rabu (10 Ogos)

Leave a Comment