PAKATAN Harapan tidak boleh dipersalahkan atas kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS) kerana ia sudah lewat daripada jadual sejak 2016, kata dua pemimpinnya.
Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu Liew Chin Tong berkata dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (9 Ogos) bahawa projek LCS memang pun menghadapi kelewatan sejak 2016 kerana reka bentuk terperinci, yang sepatutnya siap pada November 2016, masih belum untuk dimuktamadkan sehingga kini.
Mereka berkata kerajaan PH telah membuat keputusan mengenai hala tuju projek itu pada Februari 2020 berdasarkan cadangan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPPK), tetapi kerajaan tumbang pada bulan itu juga.
Setakat Januari 2020, projek itu hanya mencapai 56.39 peratus, dengan perbezaan sebanyak -26.02 peratus berbanding unjuran 82.41 peratus.
“Sehingga hari ini, reka bentuk terperinci belum disiapkan,” kata mereka, yang turut mengemukakan susur masa kemajuan dicapai sejak 2016.
Mereka berkata, dengan itu jelas bahawa bekas perdana menteri Najib Razak cuba mengelirukan dan menyalahkan PH, sedang dia dan bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab atas kegagalan projek tersebut kerana meluluskan tanpa rundingan wajar dengan pakar.
Kedua-dua pemimpin PH itu menjawab kenyataan Najib dalam Facebook yang mempersoalkan kekurangan kemajuan projek itu semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Najib mempersoalkan mengapa kemajuan itu hanya kira-kira 5 peratus dalam 17 bulan hingga September 2019, apabila ia ditangguhkan untuk semakan oleh PH.
Mohamad berkata, jawatankuasa siasatan khas itu ditubuhkan untuk menyiasat projek berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pertamanya, yang berlangsung dalam tempoh kurang dua minggu selepas dia mengangkat sumpah.
“Kerajaan Pakatan Harapan telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan projek LCS,” tambah kedua-dua pemimpin itu.
Mereka berkata, jawatankuasa yang diketuai oleh bekas ketua juruaudit negara Ambrin Buang telah membentangkan laporan mengenai siasatan itu kepada Kementerian Pertahanan pada 20 Ogos 2019, dan pegawai kementerian, Tentera Laut Diraja Malaysia dan kontraktor telah cuba mencari penyelesaian kepada isu tersebut.
Kedua-duanya bersama Ambrin, pegawai tertinggi kementerian, Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Laksamana Reza Sany telah memberi taklimat kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, yang merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, turut hadir dalam sesi itu pada 11 Feb 2020.
Mereka berkata, bekas perdana menteri (Dr Mahathir) telah memutuskan dalam mesyuarat bahawa pihak yang melakukan kesalahan mesti dibawa ke muka pengadilan, dan isu tersebut juga membawa kepada penstrukturan semula pengurusan tertinggi Boustead Naval Shipyard (BNS).
“Projek LCS dilihat sebagai projek sakit yang memerlukan dana baharu
Mohamad dan Liew berkata kementerian itu dijadual membentangkan kertas kerja kepada Kabinet, tetapi itu tidak kesampaian kerana kejatuhan kerajaan PH.
Sebelum ini dilaporkan bahawa dana kerajaan sebanyak RM1.4bil bertujuan untuk projek LCS bernilai berbilion ringgit yang ditandatangani pada 2014 telah dialihkan untuk tujuan lain.
PAC mendedahkan di Parlimen bahawa tiada satu pun kapal siap, walaupun lima sepatutnya dihantar pada bulan ini.
Juga, peralatan LCS bernilai RM255 juta, atau 15 peratus daripada RM1.7 bilion yang disimpan dalam stor bagi projek itu kini sudah lapuk.
Ini semua adalah antara penemuan terkandung dalam laporan 250 muka surat jawatankuasa dwipartisan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Ogos.
Daripada RM1.4 bilion itu, RM400 juta digunakan untuk membayar balik hutang terdahulu yang ditanggung di bawah projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV), RM305 juta digunakan untuk kemudahan integrasi di Cyberjaya, dan RM700 juta lagi adalah overrun cost yang melebihi siling kontrak LCS.
Minggu lalu, pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata Ahmad Zahid akan dipanggil oleh jawatankuasa itu awal bulan depan untuk memberi keterangan.
Bekas komander Tentera Laut Diraja Malaysia, Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS BNS juga antara yang dipanggil untuk prosiding itu.
-BTS Media