Oleh Zainal AS Rashid
KIRA-kira 23,000 pembantu rumah Indonesia telah diluluskan, dan diproses untuk majikan di Malaysia.
Duta Besar Indonesia Hermono pada Jumaat (5 Ogos) berkata mereka akan tiba secara berkumpulan mulai pertengahan Ogos sebaik projek perintis beroperasi melalui Sistem Satu Saluran (OCS).
Walaupun projek perintis melalui OCS akan bermula pada pertengahan Ogos apabila platform siap, namun beliau berkata pihaknya telah memproses permohonan secara manual menggunakan platform kedutaan, lapor The Star.
Hermono berharap apabila OCS beroperasi, pemprosesan permohonan akan lebih cepat bagi memenuhi permintaan.
Difahamkan bahawa kumpulan pertama lapan pembantu domestik tiba di Malaysia pada Isnin (1 Ogos). Mereka merupakan kumpulan pertama dihantar ke sini di bawah perjanjian baharu yang ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia.
Memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia ditandatangani pada 1 April lalu.
Melalui MOU itu, pekerja domestik akan mendapat gaji minimum RM 1,500, bekerja mengikut skop kerja mereka sahaja, dan menikmati cuti satu hari seminggu, antara lain.
Pada 28 Julai, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia Ida Fauziyah mengeluarkan kenyataan bersama bahawa pasukan teknikal bersama akan melaksanakan integrasi sistem antara platform yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sistem dalam talian yang dikendalikan oleh Kedutaan Indonesia.
-BTS Media