SEORANG lelaki maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di Alor Setar pada pagi Rabu (3 Ogos).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata lelaki berusia 65 tahun itu ditemui berlumuran darah di aras bawah pusat beli-belah itu dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu kelihatan berkelakuan mencurigakan oleh seorang pengawal keselamatan di tingkat empat bangunan berkenaan.
Pengawal keselamatan tersebut telah cuba membantu mangsa, namun mangsa terjatuh sebelum pengawal keselamatan itu sempat membantu.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Ahmad Shukri berkata, menurut keluarga mangsa dia adalah pesakit di bahagian psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah dan baharu menjalani rawatan susulan di hospital itu pada Isnin (1 Ogos).
“Mangsa yang tidak berkahwin sering berkunjung ke pusat beli-belah merayau-rayau seorang diri,” katanya.
-BTS Media