PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob digesa melihat semula dengan segera isu kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi setelah keluar BERSATU, dua bulan lalu.
Setiausaha Penerangan BERSATU Negeri Perak, Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata kedudukan itu adalah kuota dari BERSATU dan setelah dua bulan berlalu, Ismail Sabri masih lagi senyap dan membisu.
Jelasnya, ini ditambah dengan kementerian-kementerian yang diterajui UMNO sedang rancak menamatkan perkhidmatan pengerusi agensi dan lembaga yang dipimpin wakil BERSATU, dan diganti dengan wakil mereka.
“Saya secara peribadi terpanggil untuk menyentuh perkara ini apabila sering kali melihat apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan menjadi satu kebiasaan tanpa teguran.
“Empat hari lalu, wakil UMNO, Apli Yusoff telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN), sebelum ini diketuai oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, wakil dari BERSATU. Sepatutnya sebagai menghormati rakan bersama Parti Komponen dalam Kerajaan, wakil yang dilantik sepatutnya di kalangan BERSATU juga, akan tetapi UMNO terus menunjukkan kerakusan kuasa apabila mereka memegang tompok kepimpinan Negara.
“Ini bukan sekadar PTPTN sahaja, banyak lagi GLC dan lembaga pengarah mengalami nasib yang sama malah isu kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin yang telah keluar BERSATU pun masih senyap dan tiada tindakan daripada kepimpinan yang diterajui wakil UMNO juga, Ismail Sabri Yaakob.
“Jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), yang dahulunya diketuai wakil BERSATU Senator Razali Idris, kini diberi kepada bekas MB Terengganu dari UMNO, Datuk Seri Ahmad Said. Jawatan Pengerusi FINAS yang dulunya diisi wakil BERSATU, kini diberi kepada Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Zurainah Musa. Ada banyak lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kepimpinan UMNO harus belajar daripada kesilapan lalu setelah diberi nyawa untuk bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lalu menaungi semula pentadbiran kerajaan.
Namun, katanya, sikap pemimpin UMNO masih lagi tidak berubah apabila rakus mengejar kedudukan dan tamak kuasa.
“Janganlah sampai terlupa erti setia kawan. Kerakusan kuasa dan ketamakan yang ada dalam diri hanya akan merugikan rakyat. Ingat, rakyat melihat semua tindak tanduk kita dan akan mengadili pada hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Sebelum ini, saya mempunyai pandangan segelintir pemimpin UMNO sahaja yang bermasalah dengan kerakusan dan ketamakan kuasa, akan tetapi saya sangat berbeza pandangan sekarang apabila satu demi satu isu yang menunjuk hampir semua pemimpin mempunyai masalah yang sama. Nilai murni seperti menghormati satu sama lain terutamanya sebagai rakan komponen tidak diutamakan, malah budaya tikam menikam di belakang lagi hebat dari sebelumnya.
“Sekiranya inilah sistem yang mereka amal dari dulu masih diamalkan sehingga hari ini, saya merasakan UMNO wajib perlu kepimpinan baru secara keseluruhan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Zulkifli, beliau mencadangkan agar kementerian-kementerian yang diterajui menteri BERSATU segera menyemak semula kedudukan pengerusi agensi dan lembaga yang dipimpin wakil UMNO untuk diganti dengan wakil BERSATU.
Ujarnya, ini membolehkan maruah BERSATU tidak dipandang rendah oleh UMNO.
“Sekiranya tidak, masalah seperti ini terus akan berlaku dan perkara seperti ini akan merugikan rakyat, terutamanya pemimpin yang sanggup melantik di kalangan mereka demi mengekalkan kuasa yang ada.
“Oleh itu, perkara-perkara seperti ini patut diatasi demi menghormati rakan komponen dan setia kawan. Kesabaran dan kesetiaan yang ada jangan terus diuji, sekiranya ada tindakan susulan akan menyebabkan banyak pihak terkesan.
“Dan sekiranya perkara ini masih berterusan, saya sarankan menteri-menteri PN (BERSATU) segera semak semula kedudukan pengerusi-pengerusi agensi/lembaga yang ada sekarang ini untuk mengangkat maruah BERSATU supaya tidak lagi dipandang rendah oleh mereka,” katanya.
1 comment
Padan muka, itulah ajaran yg baik kpd pengkhianat mandat Rakyat